Thursday, June 23, 2011

Ceramah kebenaran israk dan mikraj serta membongkar kesesatan Wahabi yang beriktiqad kufur bahawa Allah ta'ala duduk/berada di sidratul muntaha/langit/arasy ketika nabi dimikrajkan Allah kelangit.Ajaran wahabi mengambil kesempatan dalam bulan rejab ini bagi mengajak org Islam agar percaya bahawa Allah duduk/bersila lendik(duduk dgn hormat) diatas arasy/langit krn nabi menerima kefardhuan solat dilangit...Untuk mengetahui secara ringkas sila baca dan hayatilah risalah ringkas dibawah ini berkaitan israk dan mikraj ini yang bertepatan dgn akidah ASWJ asyairah dan maturidiyyah ini.

Dan jangan lupa malam ini 23/6 selepas solat maghrib ceramah perdana Israk Mikraj di Surau Silaturrahim Blok A1, Jln 2A Presint 11 Putrajaya dan malam esok 24/6 selepas solat maghrib ceramah perdana Israk Mikraj di Masjid ar-Rahimah Kg Pandan .Peceramah: Tn Hj Ahmad Hafiz al-Bakaniyy.Doakan bersama agar diberi kemenangan kpd ASWJ


RISALAH HAKIKAT KEBENARAN ISRAK DAN MIKRAJ RASULULLAH

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Pendahuluan

Segala pujian bagi Allah tuhan sekelian alam, yang menciptakan bumi, langit, Arasy, tempat, masa dan semua makhluk, wujud-Nya sebelum kewujudan makhluk-Nya, wujud-Nya azali lagi abadi dan wujud-Nya tanpa bertempat. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad, keluarga, para sahabat dan sekelian umat Islam yang mengikut mereka dengan ihsan sehingga hari Kiamat.

Allah subhanahu wa ta^ala telah berfirman; mafhumnya:



“Maha Suci (Allah) yang memperjalankan hambaNya pada waktu malam dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkannya tanda-tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Dialah (Tuhan) Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat”.
[Surah al-Isra', ayat 1]

Kalimah سُبْحَانَ berasal dari kalimah السُّبْحُ. Dari segi bahasa, kalimah السُّبْحُ (al-subhu) membawa makna التَّبَاعُدُ (al-taba^ud) iaitu saling berjauhan. Selanjutnya, kalimah سُبْحَانَ اللهُ (SubhanaLlah) pula membawa makna Maha Suci Allah; iaitu Allah amat jauh dari persamaan dengan makhluk dari sebarang aspek dan sebarang bentuk.

Israk dari segi bahasa bermakna perjalanan pada waktu malam. Justeru, peristiwa Israk dan Mikraj berlaku pada sebahagian malam sahaja.


Al-Masjid al-Haram dinamakan sebagai al-Haram kerana masjid tersebut mempunyai kehormatan dan hukum-hukumnya yang tersendiri; antaranya:

i. Berlipat kali ganda pahala solat padanya,

ii. Kewujudannya di Mekah, yang merupakan semulia-mulia tempat di muka bumi,

iii. Pengharaman memburu hidupan darat di tanah haram.


Al-Masjid al-Aqsa pula dinamakan sebagai al-Aqsa kerana masjid tersebut terletak jauh dari al-Masjid al-Haram. Kedua-dua masjid ini merupakan binaan yang telah dibina oleh Nabi Adam ^alayhis-salam. Baginda ^alayhis-salam pada awalnya telah membina Ka^bah di Mekah, selepas empat puluh tahun barulah baginda ^alayhis-salam membina pula al-Masjid al-Aqsa di Palestin.

Meskipun bukan dibina sebelum zaman Nabi Muhammad sallaLlahu ^alayhi wa sallam, al-Masjid al-Aqsa telah pun dinamakan oleh Allah ta^ala sebagai masjid. Hal ini menunjukkan bahawa masjid adalah tempat untuk kaum Muslimin beribadat kepada Allah Yang Esa dengan bersolat di dalamnya. Kaum Muslimin atau umat Islam adalah suatu gelaran bagi pengikut setiap para nabi dan bukannya terhad kepada umat Nabi Muhammad sallaLlahu ^alayhi wa sallam sahaja. Oleh sebab itu, masjid telah pun wujud sebelum kebangkitan Nabi Muhammad sallaLlahu ^alayhi wa sallam.

Firman Allah ta^ala; mafhumnya:

"…al-Masjid al-Aqsa yang telah Kami memberkati sekelilingnya…"


Oleh kerana al-Masjid al-Aqsa berada di daratan Syam, maka kawasan yang diberkati di sekeliling al-Masjid al-Aqsa itu dalam ayat di atas ialah daratan Syam. Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh al-Bukhari bahawa Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa sallam telah bersabda; mafhumnya:

“Ya Allah! Berkatilah kami di bumi Syam kami dan Yaman kami”. Mereka berkata: “Di Najd kami wahai Rasulullah?”. Baginda bersabda; mafhumnya: “Di sana ada gempa bumi dan fitnah (kerosakan), di sana akan muncul tanduk syaitan”-Sohih Bukhari.

Hadis di atas menunjukkan bahawa bumi Syam penuh keberkatan dan Palestin yang terdapat di dalamnya al-Masjid al-Aqsa terletak di bumi Syam.

Allah ta^ala telah mengutuskan para nabi ^alayhimus-solatu was-salam sebagai pembawa rahmat bagi manusia kerana akal manusia tidak mampu secara bersendirian mengetahui sesuatu yang akan menyelamatkannya di akhirat kelak. Justeru inilah yang dikatakan kurniaan Allah kepada manusia. Sesungguhnya Allah telah membekalkan kepada para nabi-Nya ^alayhimus-salatu was-salam dengan mukjizat yang nyata sebagai dalil bahawa mereka benar-benar utusan Allah.

Mukjizat merupakan sesuatu yang luar biasa yang muncul di tangan orang yang mendakwa sebagai nabi, yang bertepatan dengan seruan mereka, dan yang selamat dari persaingan seumpamanya.

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa sallam merupakan seorang nabi yang diberikan mukjizat yang paling agung. Ibnu Abi Hatim telah menukilkan dalam kitab beliau Manaqib al-Shafi^i daripada bapanya daripada ^Umar ibn Sawad daripada al-Imam al-Shafi^i radiyaLlahu ^anhu; beliau telah berkata:

“Allah tidak memberikan sesuatu (mukjizat kepada para nabi-Nya) yang tidak diberikan kepada Muhammad. Maka aku berkata (iaitu ^Umar): “^Isa telah diberikan (mukjizat) menghidupkan orang mati”. Beliau berkata: “Muhammad telah diberikan rintihan tunggul kurma sehingga suaranya didengari. Maka ini lebih hebat dari yang demikian”.

Al-Imam al-Shafi^i radiyaLlahu ^anhu berkata demikian kerana perbuatan menghidupkan orang mati yang asalnya hidup bukanlah suatu yang sangat luar biasa jika dibandingkan sepohon pokok yang memang pada asalnya tidak hidup seperti manusia, tidak berkata-kata apatah lagi boleh menangis sehingga orang ramai dapat mendengar rintihannya.

Peristiwa rengekan atau rintihan tunggul kurma ini berlaku lantaran amat merindui Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa sallam. Ini adalah antara mukjizat baginda yang paling ajaib. Riwayat peristiwa ini termasuk dalam hadis mutawatir.

Sesungguhnya sebahagian pujangga Arab yang memuji Nabi sallaLlahu ^alayhi wa sallam telah berkata:

“Sekiranya Musa telah memberi minum al-Asbat (Bani Isra`il) dari batu, maka sesungguhnya di telapak tangan (Nabi Muhammad) ada suatu pengertian yang tiada di batu itu,

Sekiranya ^Isa menyembuhkan si buta dengan doanya, maka betapa pula (mukjizat) dengan telapak tangannya sahaja baginda benar-benar telah mengembalikan penglihatan?”.

Pujian yang disampaikan di atas adalah mengenai mukjizat Nabi Muhammad sallaLlahu ^alayhi wa sallam lebih hebat berbanding dengan mukjizat Nabi Musa ^alayhis-salam yang juga hebat kerana mengeluarkan dua belas air mata air dari batu untuk minuman Bani Isra`il yang terdiri dari dua belas kaum kerana air keluar dari celahan jari Nabi Muhammad sallaLlahu ^alayhi wa sallam sahaja. Akal akan mengatakan mustahil air keluar dari daging dan tulang berbanding keluar dari batu. Demikian juga mencelikkan orang buta dengan izin (kuasa dan kehendak) Allah iaitu mukjizat Nabi Isa ^alayhis-salam bukanlah terlalu luar biasa jika dibandingkan dengan mukjizat Nabi Muhammad sallaLlahu ^alayhi wa sallam yang mengembalikan mata seorang sahabat iaitu Qatadah ibn al-Nu^man, yang terkeluar hampir tercabut ketika peperangan Badar. Baginda sallaLlahu ^alayhi wa sallam hanya meletakkan kembali mata tersebut ke tempat asalnya dengan tangannya yang mulia sehinggakan selepas kejadian itu sahabat tersebut tidak pasti mata yang mana satukah ditimpa musibah tersebut. Antara mukjizat yang diberikan oleh Allah kepada Nabi Muhammad sallaLlahu ^alayhi wa sallam ialah Israk dn Mikraj.

Israk

Mukjizat Israk benar-benar berlaku dan jelas berdasarkan nas al-Quran dan hadis sahih. Oleh itu kita wajib beriman bahawa Allah telah memperjalankan Nabi Muhammad sallaLlahu ^alayhi wa sallam (Israk) pada sebahagian malam dari al-Masjid al-Haram di Mekah al-Mukarramah ke al-Masjid al-Aqsa di Palestin.

Sebenarnya Ahlul-Haqq (golongan benar) dari kalangan salaf dan khalaf yang terdiri di kalangan ahli hadis, ahli kalam (ulama tauhid), ahli tafsir dan ahli fekah telah bersepakat bahawa peristiwa Israk berlaku ke atas Nabi Muhammad dengan jasad beserta ruh dan dalam keadaan sedar. Inilah pandangan yang benar. Pendapat ini merupakan pendapat Ibnu Abbas, Jabir, Anas, ^Umar, Huzayfah dan selain mereka dari kalangan para sahabat. Inilah juga merupakan pendapat al-Imam Ahmad, al-Tabari dan selainnya. Oleh itu, maka tidak ada sebarang perselisihan berkenaan peristiwa Israk kerana ada nas al-Quran mengenainya. Oleh kerana itulah ulama mengatakan: “Barang sesiapa mengingkari peristiwa Israk, sesungguhnya dia telah membohongi al-Quran dan sesiapa yang membohongi al-Quran hukumnya kafir”.

Al-Imam al-Bayhaqi telah meriwayatkan daripada Shaddad Bin Aus, beliau telah berkata: Kami telah berkata: Wahai Rasulullah! Bagaimanakah engkau di-israk-kan? Baginda sallaLlahu ^alayhi wa sallam bersabda; mafhumnya:

“Aku telah tunaikan solat al-^Atamah (solat pada waktu malam) bersama sahabat-sahabatku di Mekah, lalu Jibril ^alayhis-salam memberiku satu binatang (namanya al-Buraq) yang putih, lebih besar dari keldai dan lebih kecil dari baghal, lalu dia (Jibril) berkata: "Tungganglah!". Maka aku merasa sukar. Kemudian (Jibril) memusingkan bintang tunggangan itu dengan memegang telinganya kemudian mengangkatku ke atasnya. Lalu binatang itu pun bertolak di mana langkahnya sejauh mata memandang sehingga kami sampai suatu tempat yang terdapat pohon kurma, maka diturunkan aku. Lalu Jibril berkata: "Solatlah!". Maka aku pun tunaikan solat. Kemudian kami tunggangi semula, lalu Jibril menyoalku: "Adakah engkau tahu di manakah engkau solat tadi?". Aku berkata: "Allah yang lebih mengetahui". Jibril berkata: "Kamu solat di Yathrib, kamu solat di Tayyibah". Selepas itu binatang tadi bertolak membawa kami langkahnya sejauh mata memandang, sampailah di satu tempat lalu Jibril berkata: "Turun!". Maka aku pun turun. Kemudian dia berkata: "Solatlah!" Maka aku pun tunaikan solat Kemudian kami tunggangi semula lalu Jibril menyoalku: "Adakah kamu tahu di manakah kamu solat tadi? Kamu solat di Tur Sayna' yang Allah berkata-kata dengan Nabi Musa ^alayhis-salam di situ". Kemudian binatang tadi bertolak semula membawa kami, langkahnya sejauh mata memandang. Kami sampai suatu tempat, nampak di sana istana-istana. Maka Jibril berkata: "Turun!" Maka aku pun turun. Kemudian dia berkata: "Solatlah!" Maka aku pun tunaikan solat. Kemudian kami tunggangi semula. Jibril berkata: "Adakah engkau tahu di mana engkau solat tadi?". Aku berkata: "Allah yang lebih mengetahui". Jibril berkata: "Engkau sembahyang di Bayt Laham di tempat keputeraan Isa ^alayhis-salam al-Masih ibn Maryam". Kemudian kami bertolak sehingga kami memasuki kota melalui pintunya dari arah Yaman. Lalu Jibril mendatangi kiblat masjid kemudian mengikat binatang tunggangan itu di situ dan kami memasuki masjid melalui pintu yang matahari dan bulan condong kepadanya. Kemudian aku sembahyang di bahagian masjid sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah”.

Antara perkara ajaib yang diperlihatkan kepada Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa sallam dalam peristiwa Israk ialah:


1. Dunia.

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa sallam melihat dalam perjalanan baginda ke Baitul Maqdis dunia dalam bentuk seorang perempuan tua.

2. Iblis.


Baginda melihat sesuatu menyerunya iaitu Iblis la^natuLlahi ^alayh. Iblis la^natuLlahi ^alayh dari golongan jin yang beriman pada awalnya, kemudian kafir kepada Allah kerana penentangannya terhadap Allah. Allah ta^ala telah berfirman dalam al-Quran, surah al-Kahf ayat 50; mafhumnya:

“Dan ketika kami memerintahkan kepada para malaikat agar sujud kepada Adam maka merekapun sujud kecuali Iblis. Dia adalah di kalangan jin lalu dia menderhakai perintah Tuhannya”.


Kita dilarang untuk mengatakan bahawa Iblis adalah ketua para malaikat kerana dia bukanlah dari kalangan malaikat. Dalil yang jelas berkenaan perkara ini ialah Allah ta^ala berfirman dalam surah al-Kahf, ayat 50; yang bermaksud:


“Kecuali Iblis , adalah dia dari golongan jin”.

Menurut satu riwayat hadis daripada Sayyidatina ^A'ishah radiyaLlahu ^anha bahawa Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa sallam telah bersabda; yang bermaksud:

“Malaikat diciptakan dari cahaya dan jin diciptakan dari api yang membara”.

Melalui dua dalil di atas nyatalah bahawa iblis sebenarnya dari golongan jin bukannya malaikat.

3. Mashitah (wanita tukang sikat) anak perempuan Firaun.

Kemudian Nabi sallaLlahu ^alayhi wa sallam terhidu bauan yang amat wangi dari kubur wanita tukang sikat anak perempuan Firaun. Beliau merupakan seorang wanita yang beriman lagi solehah.


Diceritakan bahawa ketika beliau menyisir rambut anak perempuan Firaun sikat terjatuh dari tangannya lalu beliau menyebut “Bismillah”. Lantas anak perempuan Firaun bertanya: “Adakah bagimu ada tuhan selain bapaku?”. Wanita itu pun menjawab:“Ya! Tuhanku dan tuhan bapamu ialah Allah”. Tanpa berlengah lagi, anak perempuan Firaun itu pun mengadu kepada bapanya. Lalu Firaun menyuruh wanita tukang sikat itu meninggalkan agama Islam dan masuk kembali ke agama asal, namun wanita itu enggan.

Selepas itu, Firaun menyediakan air yang amat panas untuk memasukkan wanita itu beserta anaknya yang masih menyusu ke dalam air tersebut. Sebelum anaknya dilempar, anak tersebut dapat berkata-kata dengan izin (dengan kehenadak dan kuasa) Allah kepada ibunya itu: “Wahai ibuku! Bersabarlah. Sesungguhnya azab Allah di akhirat amat pedih berbanding dengan azab di dunia. Maka janganlah engkau berdukacita kerana engkau berada di jalan yang benar”. Wsanita itu pun berkata kepada Firaun: “Aku ada suatu permintaan daripadamu iaitu engkau hendaklah himpunkan dan kebumikan tulang-tulangku”. Firaun menjawab: “Baiklah”. Kemudian wanita tukang sikat itu pun dilontarkan ke dalam air tersebut. Matilah wanita itu sebagai syahid bersama anak-anaknya.


4. Pejuang di jalan Allah.


Nabi sallaLlahu ^alayhi wa sallam melihat satu kaum bercucuk tanam dan menuai hasilnya dalam masa dua hari sahaja, lalu baginda bertanya kepada Jibril lalu dijawab: “ Mereka ialah pejuang yang berjuang pada jalan Allah”.

Berjihad di jalan Allah ada dua bahagian iaitu:

(i) berjihad dengan pedang iaitu berperang ( al-jihad bis-sinan), dan


(ii) berjihad dengan keterangan (al-jihad bil-bayan). Jihad ini pahalanya seperti orang yang berjuang dengan pedang.

Pada hari ini, barang sesiapa yang menyuruh kepada yang makruf dan melarang dari yang mungkar dengan bersungguh-sungguh maka dia merupakan pejuang (mujahid) pada jalan Allah. Mujahid pada jalan Allah akan mendapat darjat yang agung di sisi Allah di akhirat nanti. Al-Imam al-Bayhaqi meriwayatkan bahawa Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa sallam telah bersabda; yang bermaksud:

“Orang yang berpegang teguh dengan sunnahku ketika rosaknya umatku mendapat pahala orang mati syahid”.

Yang dimaksudkan dengan sunnah dalam hadis ini ialah syariat iaitu perkara merangkumi akidah dan hukum-hukum yang dibawa oleh Nabi Muhammad dan bukannya sesuatu amalan yang bukan fardu seperti solat sunat dan sebagainya yang ditakrifkan di sisi ahli fekah dengan pengertian sunat sebagai suatu yang jika sesiapa melakukannya beroleh pahala dan jika meninggalkannya tidak berdosa.

5. Pemidato-pemidato yang membawa fitnah.

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa sallam telah melihat segolongan manusia yang memotong lidah-lidah mereka serta bibir-bibir mereka dengan gunting-gunting dari api neraka. Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa sallam bertanya Jibril perihal golongan tersebut lalu dijawab: “Merekalah pemidato-pemidato yang membawa fitnah”, iaitu mereka berpidato pada perkara kejahatan dan fitnah dengan menyeru manusia kepada kesesatan, kemusnahan, penipuan dan khianat.

6. Golongan yang bercakap perkataan batil.

Rasul sallaLlahu ^alayhi wa sallam melihat seekor lembu jantan keluar dari lubang yang sempit kemudian hendak kembali memasukinya, tetapi tidak boleh. Lalu Jibril berkata kepada Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa sallam sallaLlahu ^alayhi wa sallam: “Inilah golongan yang bercakap dengan perkataan batil yang m,engandungi kemudaratan kepada manusia serta kerosakan, kemudian hendak merujuk kembali maka tidak boleh”.

7. Golongan yang tidak menunaikan zakat.

Rasul sallaLlahu ^alayhi wa sallam telah melihat segolongan manusia seperti binatang, Jibril memberitahu Nabi sallaLlahu ^alayhi wa sallam: “Mereka itulah orang-orang yang tidak menunaikan zakat”.


8. Orang yang meninggalkan solat.

Rasul sallaLlahu ^alayhi wa sallam telah melihat suatu kaum memecahkan kepala mereka sendiri kemudian kepalanya kembali menjadi seperti sebelum dipecahkan. Jibril berkata: “Merekalah yang memberat-beratkan kepala mereka dari menunaikan solat”.

9. Penzina.

Rasul sallaLlahu ^alayhi wa sallam telah melihat suatu kaum berlumba-lumba mendekati daging yang busuk lagi kotor dan meninggalkan daging yang baik lagi elok. Lalu Jibril pun berkata: “Merekalah golongan dari kalangan umatmu yang meninggalkan yang halal dan tidak merasainya, tetapi mendekati yang haram lagi kotor lalu memakannya. Merekalah penzina”.

10. Peminum arak.

Rasul sallaLlahu ^alayhi wa sallam telah melihat segolongan manusia minum air nanah yang kotor yang keluar dari penzina. Maka Jibril pun berkata: “Mereka itulah peminum-peminum arak yang diharamkan di dunia”.

11. Golongan pengumpat.

Rasul sallaLlahu ^alayhi wa sallam melihat suatu kaum mencakar wajah-wajah mereka serta dada mereka dengan kuku-kuku dari tembaga. Jibril berkata: “Merekalah golongan yang sering mengumpat sesama manusia”.


Ketahuilah bahawa dosa mengumpat merupakan salah satu sebab utama seseorang itu diseksa di dalam alam kubur. Begitu juga dosa kerana mengadu domba (batu api) dan mengabaikan kebersihan dari najis air kencing. Mengumpat golongan yang bertakwa kepada Allah merupakan dosa besar. Bagi orang yang berpuasa, mengumpat tidak membatalkan puasa seseorang. Al-Imam Ahmad radiyaLlahu ^anhu pernah berkata: “Sekiranya mengumpat membatalkan puasa sudah pasti puasa kita tidak sah”. Kata-kata bermaksud bahawa kebanyakan manusia tidak terlepas dari perbuatan mengumpat.

Mikraj

Peristiwa Mikraj memang betul berlaku berdasarkan hadis-hadis yang sahih, adapun di dalam al-Quran maka tidak tercatat atau dinaskan secara jelas tetapi disebut mengenainya oleh beberapa ayat yang hampir menjadi nas yang jelas.


Allah berfirman dalam al-Quran, surah al-Najm, ayat 13 hingga 15; yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya (Muhammad) telah melihatnya (Jibril) buat kali yang kedua di Sidratul-Muntaha. Di sanalah terletaknya Jannatul-Ma'wa”.

Sekiranya ada orang yang beranggapan bahawa makna melihat dalam ayat 13, surah al-Najm di atas berkemungkinan Nabi sallaLlahu ^alayhi wa sallam berkeadaan mimpi bukannya jaga, maka kita jawab bahawa ini adalah suatu takwil. Sebarang pentakwilan nas iaitu mengeluarkannya dari makna yang tersurat kepada yang tersirat tidak boleh dilakukan tanpa sandaran dalil akal yang putus atau dalil sam^i yang thabit atau sahih seperti yang dinyatakan oleh seorang ulama usul al-Imam al-Razi dalam al-Mahsul. Di sini tidak ada sebarang dalil yang menunjukkan kebenaran takwil di atas.

Oleh yang demikian, pandangan atau penglihatan Nabi sallaLlahu ^alayhi wa sallam dalam peristiwa Mikraj adalah secara sedar atau jaga iaitu secara jaga baginda melihat Jibril dalam rupa bentuk yang asal di Sidratul Muntaha yang terletak di langit yang keenam. Justeru peristiwa Mikraj ini secara tidak langsung sabit atau dinaskan di dalam al-Quran dengan nas yang hampir jelas.

Al-Imam Muslim meriwayatkan daripada Anas ibn Malik bahawa Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa sallam telah menceritakan mengenai peristiwa Mikraj yang berlaku kepada diri baginda dalam hadisnya; mafhumnya:

“Kemudian kami dibawa naik ke langit, lalu Jibril memohon pintu langit dibuka. Lalu Jibril ditanya: "Siapakah engkau?". Jibril menjawab: "Jibril". Jibril ditanya lagi: "Siapakah bersamamu?". Jibril berkata: "Muhammad". Jibril ditanya lagi: "Adakah telah diutuskan kepadanya?" . Jibril berkata: "Sesungguhnya telah diutuskan kepadanya". Lalu dibukakanlah bagi kami. Di situlah aku menemui Adam, lalu dia mengucapkan selamat datang kepadaku dan mendoakan kebaikan untukku. Kemudian kami dibawa naik lagi ke langit kedua, lalu Jibril memohon pintu langit dibuka. Lalu ditanya: "Siapakah engkau?". Jibril menjawab: "Jibril". Jibril ditanya lagi: "Siapakah bersamamu?". Jibril berkata: "Muhammad". Jibril ditanya lagi: "Adakah telah diutuskan kepadanya?". Jibril berkata: "Sesungguhnya telah diutuskan kepadanya". Lalu dibukakanlah bagi kami. Di situlah aku menemui dua orang sepupuku iaitu ^Isa ibn Maryam dan Yahya ibn Zakaria salawatuLlahi ^alayhis-salam. Lalu mereka berdua mengucapkan selamat datang dan mendoakan kebaikan untukku. Kemudian aku dibawa naik ke langit ketiga, lalu Jibril memohon pintu dibuka. Lalu Jibril ditanya: "Siapakah engkau?". Jibril menjawab: "Jibril". Jibril ditanya lagi: "Siapakah bersamamu?". Jibril berkata: "Muhammad". Jibril ditanya lagi: "Adakah telah diutuskan kepadanya?". Jibril berkata: "Sesungguhnya telah diutuskan kepadanya". Lalu dibukakanlah bagi kami. Di situlah aku menemui Yusuf sallaLlahu ^alayhi wa sallam. Ingatlah sesungguhnya dia diberikan setengah ketampanan. Lalu dia mengucapkan selamat datang kepadaku dan mendoakan kebaikan untukku. Kemudian kami dinaikkan ke langit keempat, lalu Jibril memohon pintu dibuka Lalu Jibril ditanya: "Siapakah ini?". Jibril menjawab: "Jibril". Jibril ditanya lagi: "Siapakah bersamamu?". Jibril berkata: "Muhammad". Jibril ditanya lagi: "Adakah telah diutuskan kepadanya?". Jibril berkata: "Sesungguhnya telah diutuskan kepadanya". Lalu dibukakanlah bagi kami. Di situlah aku menemui Idris. Lalu dia mengucapkan selamat datang kepadaku dan mendoakan kebaikan untukku. Firman Allah ta^ala (dalam surah Maryam, ayat 57; mafhumnya): "Dan kami mengangkatnya ke suatu tempat yang tinggi". Kemudian kami dibawa naik ke langit kelima lalu Jibril memohon pintu dibuka Lalu Jibril ditanya: "Siapakah ini?". Jibril menjawab: "Jibril". Jibril ditanya lagi: "Siapakah bersamamu?". Jibril berkata: "Muhammad". Jibril ditanya lagi: "Adakah telah diutuskan kepadanya?". Jibril berkata: "Sesungguhnya telah diutuskan kepadanya". Lalu dibukakanlah bagi kami. Di situlah aku menemui Harun. Lalu dia mengucapkan selamat datang kepadaku dan mendoakan kebaikan untukku. Kemudian kami dibawa naik ke langit keenam lalu Jibril memohon pintu dibuka Lalu Jibril ditanya: "Siapakah ini?". Jibril menjawab: "Jibril". Jibril ditanya lagi: "Siapakah bersamamu?". Jibril berkata: "Muhammad". Jibril ditanya lagi: "Adakah telah diutuskan kepadanya?". Jibril berkata: "Sesungguhnya telah diutuskan kepadanya". Lalu dibukakanlah bagi kami. Di situlah di hadapanku aku menemui Musa sallaLlahu ^alayhi wa sallam. Lalu dia mengucapkan selamat datang kepadaku dan mendoakan kebaikan bagiku. Kemudian kami dibawa naik ke langit ketujuh lalu Jibril memohon pintu dibuka Lalu Jibril ditanya: "Siapakah ini?". Jibril menjawab: "Jibril". Jibril ditanya lagi: "Siapakah bersamamu?". Jibril berkata: "Muhammad". Jibril ditanya lagi: "Adakah telah diutuskan kepadanya?". Jibril berkata: "Sesungguhnya telah diutuskan kepadanya". Lalu dibukakanlah bagi kami. Di situlah aku menemui Ibrahim sallaLlahu ^alayhi wa sallam dalam keadaan menyandarkan belakangnya ke Baytul-Ma^mur yang dimasuki setiap hari oleh tujuh puluh ribu malaikat yang tidak lagi kembali kepadanya (Baytul-Ma^mur). Kemudian Jibril pergi bersamaku ke Sidratul-Muntaha yang dedaunnya seumpama telinga-telinga gajah dan buahnya seperti tempayan-tempayan”. Jibril berkata: "Apabila Sidratul-Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya dengan perintah (ketetapan) Allah maka tiada satu pun daripada makhluk Allah yang mampu untuk mensifatkan keelokannya". Kemudian Allah mewahyukanku suatu yang telah diwahyukan iaitu aku difardukan lima puluh solat sehari semalam. Setelah itu aku pun sehingga berjumpa dengan Musa sallaLlahu ^alayhi wa sallam, lalu dia berkata: "Apakah yang telah difardukan oleh Tuhanmu ke atas umatmu?". Aku menjawab: "Lima puluh solat". Musa berkata: "Kembalilah kepada Tuhanmu , kemudian engkau mintalah kepada-Nya keringanan kerana sesungguhnya umatmu tidak berdaya melaksanakannya sebagaimana aku telah pun menguji Bani Isra'il dan golongan yang terpilih daripada kalangan mereka". Baginda bersabda: "Aku kembali kepada Tuhanku dengan kataku: "Wahai Tuhanku, berilah keringanan buat umatku". Lalu Dia mengurangkan ke atasku lima waktu (iaitu menjadi empat puluh lima waktu), lalu aku pun kembali kepada Musa dan aku berkata: "Dia mengurangkan ke atasku lima waktu". Musa berkata: "Sesungguhnya umatmu tidak berdaya melaksanakannya kemudian engkau mintalah kepada-Nya keringanan". Baginda bersabda: "Aku pun berulang alik berkali-kali di antara Tuhankudan Musa ^alayhis-salam sehingga Allah berfirman: "Wahai Muhammad, sesungguhnya solat yang difardukan itu lima solat sehari semalam. Bagi setiap solat (dari lima solat itu) diganjarkan sepuluh solat. Jadi, demikian itu lima puluh solat. Barangsiapa yang yang ingin melakukan suatu kebaikan dan dia tidak melaksanakannya maka dituliskan untuknya satu kebaikan. Sekiranya dia telah melaksanakannya maka dituliskan untuknya sepuluh kebaikan. Barangsiapa yang ingin melakukan suatu kejahatan dan dia tidak melakukannya maka sesuatu (kejahatan/ dosa) pun tidak dituliskan untuknya. Sekiranya dia telah melakukannya maka dituliskan untuknya satu kejahatan". Baginda bersabda: "Kemudian aku pun turun sehingga sampai kepada Musa sallallahu ^alayhi wa sallam dan aku memberitahunya, lalu dia berkata: "Kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah keringanan". Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa sallam bersabda: "Lalu aku menjawab: "Sesungguhnya aku telah kembali kepada Tuhanku sehingga aku berasa malu kepada-Nya".

Suatu Nasihat


Sebahagian manusia percaya bahawa Mikraj merupakan satu peristiwa yang menunjukkan bahawa Rasulullah sampai ke suatu tempat di atas langit yang ketujuh yang pada anggapannya bahawa di situlah Allah berada.


Kepercayaan atau iktikad yang mengatakan Allah berada di atas langit samada yang dimaksudkan itu langit secara umum atau dikhususkan kepada Kursi atau Arasy sebenarnya adalah sesat lagi kufur di sisi Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah. Ini kerana kepercayaan sedemikian menisbahkan atau menyifatkan Allah berada pada arah, sudut, ruang atau tempat. Sedangkan akidah dan kepercayaan umat islam yang sebenarnya ialah Allah jualah yang menciptakan segala-galanya yang ada, antaranya tempat dan arah atau sudut. Allah telah pun ada atau wujud sebelum wujudnya ruang, arah, sudut dan tempat lagi tanpa memerlukan arah, sudut mahupun tempat bagi kewujudan-Nya. Inilah yang dikatakan bahawa wujud Allah sebagai wujud yang azali iaitu wujudnya Allah itu tidak didahului oleh ketiadaan, tidak didahului sesiapapun selain-Nya dan tidak dijadikan oleh sesiapapun kerana Dia adalah Tuhan. Tempat, arah dan lain-lain merupakan ciptaan Allah yang dinamakan sebagai makhluk dan kewujudan makhluk tidak azali. Tidak azali bermaksud kewujudan yang didahului dengan ketiadaan. Hanya Allah yang menciptakan makhluk dari tiada menjadi ada. Mustahil kewujudan Allah itu perlu atau berhajat kepada selain-Nya sedangkan Allah wujud azali dan sesuatu selain-Nya belum wujud; iaitu seperti tempat, ruang, arah, masa, Arasy, Kursi, langit, dan lain-lain lagi belum wujud. Jika akal kita dengan pasti menerima bahawa Allah wujud dengan keazalian-Nya tanpa memerlukan sesuatu selain-Nya seperti tempat misalnya, maka akal kita juga pasti menerima bahawa sekarang dan selama-lamanya Allah wujud tanpa memerlukan tempat seperti Arasy, Kursi, langit dan lain-lain.

Al-Imam al-Shafi^i rahimahuLlah berkata seperti yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Qushayri: “Ketahuilah oleh kamu semua bahawa Allah ^azza wa jalla tidak ada tempat bagi-Nya (iaitu tidak bertempat)”. Imam Ahlis-Sunnah iaitu al-Imam Abu al-Hasan al-Ash^ari juga berkata sedemikian seperti yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bayhaqi: “Sesungguhnya Allah ta^ala tidak ada tempat bagi-Nya”. Al-Imam Abu Mansur al-Baghdadi pula menyebutkan dalam kitab beliau al-Farqu baynal-Firaq: “Dan mereka (iaitu Ahlis-Sunnah) telah berijmak bahawa Dia (iaitu Allah) tidak diliputi oleh tempat dan dilalui ke atas-Nya oleh masa”.

Inilah ijmak Ahlis-Sunnah yang menunjukkan bahawa Allah wujud tidak bertempat, sama ada di atas atau di bawah, kiri atau kanan, depan atau belakang kerana kesemua arah tersebut ciptaan Allah yang asalnya tidak ada langsung kemudian dijadikan oleh Allah. Begitu jugalah masa, tidak kira sebelum atau selepas, semalam, hari ini atau esok, pagi atau petang, siang atau malam. Barang sesiapa beriktikad berlainan dari apa yang disebutkan, maka mereka itulah yang digelar sebagai golongan al-Mushabbihah, iaitu golongan yang menyamakan Allah dengan makhluk ciptaan-Nya sendiri. Golongan al-Mushabbihah tersebut dihukumkan sebagai kafir oleh ulama Islam. Al-Imam Abu Ja^far al-Tahawi berkata dalam kitab beliau al-^Aqidah al-Tahawiyyah: “Barang sesiapa mensifatkan bagi Allah dengan suatu makna sifat daripada makna-makna sifat makhluk, sesungguhnya telah kafir”. Jelas bagi kita bahawa antara sifat makhluk ialah wujud yang memerlukan tempat.


Walaupun demikian, amatlah mendukacitakan kita kerana ada golongan yang menyandarkan diri mereka sebagai tuan guru atau ulama mengelirukan umat Islam berkenaan peristiwa Mikraj ini dengan menyatakan bahawa Rasulullah telah sampai ke tempat yang merupakan markaz atau tempat Allah berada! Wal-^iyadhubiLlah. Pandangan atau ucapan sebegini jelas hukumnya kufur kerana menyifatkan Allah dengan sifat yang sama dengan makhluk. Hal ini berpunca dari pembacaan yang disandarkan kepada sebahagian kitab murahan yang mudah didapati yang tidak terkandung ^aqidah al-tanzih, iaitu akidah Ahlis-Sunnah yang menquduskan dan mensucikan Allah dari sebarang persamaan dengan makhluk. Antara kitab tersebut ialah Kitab al-Mi^raj yang disandarkan secara dusta kepada Ibn ^Abbas. Perkara sebegini dan seumpamanya wajib diberi peringatan kepada umat Islam.

Penjelasan sebenar berkenaan perkara ini ialah Rasulullah telah sampai ke tempat yang dikehendaki oleh Allah selepas sampai di Sidratul-Muntaha. Di situlah baginda mendapat perintah Allah mengenai kefarduan solat. Begitu jugalah berkenaan Rasulullah berulang alik memohon dikurangkan waktu solat tersebut dari tempat Nabi Musa ke tempat baginda menerima kefarduan solat. Keadaan ini tidak bererti Nabi Muhammad berulang alik dari tempat Nabi Musa ke tempat Allah berada kerana Allah wujud tanpa bertempat. Bahkan baginda berulang alik ke tempat asal yang baginda mendengar Kalamullah yang azali tanpa suara, huruf dan bahasa. Allah menciptakan kekuatan pada hati Rasulullah sehingga baginda faham bahawa suatu yang didengari itu adalah wahyu Allah mengenai kefarduan solat sehinggalah solat lima puluh waktu sehari semalam dikurangkan kepada lima waktu sehari semalam.

Kita hendaklah bersyukur kepada Allah kerana dengan limpah rahmat-Nya kita menjadi umat yang terbaik berbanding umat-umat yang lain. Hal ini tidaklah wujud begitu sahaja kerana semata-mata kita berada atau tergolong dalam umat Nabi Muhammad, kerana umat yang disandarkan kepada Nabi Muhammad ada dua bahagian; iaitu pertama ummah al-da^kwah (umat yang disampaikan dakwah Islam kepada mereka) kedua ummah al-ijabah (umat yang menerima dakwah Islam seperti yang diajar oleh Nabi Muhammad). Oleh itu, marilah kita golongkan diri kita ke dalam ummah al-ijabah yang beriman dengan Allah dengan kepercayaan yang sahih, seterusnya melakukan serta menyuruh kepada kebaikan dan menghindari serta mencegah dari perkara yang keji lagi tercela di dalam agama berdasar ilmu yang sahih

Mudah-mudahan kita dapat menghapuskan perkara palsu yang berlaku atau digembar-gemburkan berkaitan peristiwa bersejarah ini dengan rasa tanggungjawab sebagai peribadi muslim yang mencintai agamanya.

Wallahua’lam



Disediakan oleh:-

Hj Ahmad Hafiz bin Hj. Mohd Alwi Al-Bakaniy
Email: al_bakaniyy@yahoo.com
Tel:019-9328339 /0103340332
-----------------------------------
Disemak dan disahkan oleh:-


Dato’ Hj. Abdul Rahman bin Hj. Osman
Mufti Kerajaan Negeri Pahang
Jabatan Mufti Negeri Pahang Darul Makmur

1 comment:

Anonymous said...

salam,
teringat kenangan forum atasbawah.com

bab ni kacang je kat sana...hahaha

padaiyappa