Wednesday, July 10, 2013

kajian genetik membuktikan Melayu Bukan Pendatang!

KUALA LUMPUR 9 Julai - Kajian ilmiah oleh seorang penyelidik mengesahkan bahawa orang Melayu adalah kaum asal di rantau Nusantara ini dan bukannya golongan pendatang seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
 
Penulis dan penyelidik sejarah, Zaharah Sulaiman yang bakal menerbitkan hasil kajiannya tidak lama lagi berkata, bukti menerusi pemetaan genetik dan artifak arkeologi mendapati masyarakat Orang Asli Semang dan Senoi yang mendiami Benua Sunda (Asia Tenggara) merupakan nenek moyang kepada populasi Melayu Proto dan kaum Melayu hari ini.
 
"Pengesahan ini jelas sekali menolak dakwaan buku Contesting Malayness: Malay Identity Across Boundaries yang diterbitkan oleh National University of Singapore (NUS) yang menyatakan kaum Melayu berasal daripada campuran kaum-kaum dari selatan China dan India," katanya.
 
Beliau berkata demikian dalam Wacana Mengenali dan Menjejaki Perjalanan Bangsa Melayu dan Asal Usulnya anjuran Kelab Wartawan Muda Malaysia di sini, semalam.
 
Buku susunan Profesor Madya di Jabatan Sejarah NUS, Timothy P. Barnard yang diterbitkan pada 2004 mendakwa kaum Melayu tiada asas untuk menjadi kaum yang nyata kerana ia adalah campuran daripada kaum-kaum lain.
 
Ekoran itu, buku berkenaan mencadangkan kaum Cina dan India di Malaysia diberikan taraf bumiputera kerana orang Melayu sebenarnya berasal daripada salasilah kedua-dua kaum itu.
Zaharah berkata, kajian yang dilakukannya bersama beberapa penyelidik lain sejak 2009 mendapati masyarakat Semang dan Senoi berasal daripada manusia asal di Afrika yang berhijrah ke rantau ini sejak 65,000 tahun dahulu.

"Kumpulan yang telah berhijrah ke Benua Sunda ini merupakan nenek moyang kepada manusia moden hari ini termasuk di Asia Timur dan Amerika.

"Kajian juga mendapati orang Jawa, Dayak, Batak, Champa, Madagascar dan Polynesia juga mempunyai genetik asal daripada Semang dan Senoi dan oleh itu mereka juga orang Melayu," katanya.

"Saya harap kajian ini akan menyemarakkan kembali semangat Melayu dan membuatkan mereka tidak lagi malu menjadi Melayu yang mengikut sejarah, panggilan ini bermaksud 'orang gunung'," katanya.

Tambahnya, faktor letusan gunung berapi, gempa bumi, banjir besar dan tsunami menyebabkan Benua Sunda telah terpisah sehingga membentuk Semenanjung Malaysia, Sumatera, Jawa, Filipina dan Borneo.


"Selat Melaka sekarang sebenarnya adalah salah satu daripada sungai-sungai yang terdapat di Benua Sunda dan ini dapat menjawab persoalan para pengkaji kenapa selat ini sangat cetek," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130710/dn_05/Kajian-sahkan-Melayu-bukan-pendatang#ixzz2Yc2QkiIh
© Utusan Melayu (M) Bhd


Artikel Anakbukitgantang yang terkait

http://anakbukitgantang.blogspot.com/2011/03/melayu-bukan-pendatang.html

http://anakbukitgantang.blogspot.com/2011/03/melayu-bukan-pendatang-bahagian-2.html

http://anakbukitgantang.blogspot.com/2012/10/akhirnya-tamadun-lembah-lenggong.html







2 comments:

Anonymous said...

ultra kiasu..ada ape komen?

Anonymous said...

Tanya org jawa, bugis atau minangkabau di indonesia, mereka bilang mereka bukan melayu. Melayu itu salah satu kaum kecil antara byk suku kaum di indonesia.