Tuesday, August 16, 2016

KENYATAAN MEDIA RASMI SPRM SPRM TAHAN TIGA INDIVIDU, BEKU ASET BERNILAI JUTAAN RINGGIT


SELARAS dengan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad baru-baru ini yang mahu membersihkan perkhidmatan awam daripada rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan satu operasi serentak di tiga buah negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka dan Kelantan.
Seramai tiga penjawat awam, dua daripadanya berpangkat Dato' Sri dan Dato' ditahan SPRM hari ini atas kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram.

Mereka yang masing-masing berkhidmat di salah satu jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan ditahan di ketiga-tiga negeri pada lebih kurang jam 12 dan 2 petang tadi.

Mereka yang ditahan berumur dalam lingkungan 50-an.
Susulan penahanan tersebut, akaun milik ketiga-tiga individu berkenaan melebihi RM13 juta telah dibekukan, meliputi wang simpanan dan amanah saham bernilai antara RM1 juta hingga RM6 juta setiap yang ditahan.

Turut disita ialah beberapa kondominium mewah termasuk penthouse, rumah banglo serta kenderaan mewah antaranya Maserati, BMW dan Audi yang dipercayai hasil rasuah dan penggubahan wang haram.

Dalam serbuan secara serentak pada hari ini, SPRM juga turut menjumpai wang tunai lebih kurang RM400,000 termasuk mata wang asing bernilai serta beberapa utas jam tengah mewah.
Siasatan dibuat di bawah seksyen 17 (a) dan 23 Akta SPRM 2009 serta 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram2001. Di bawah kesalahan seksyen Akta SPRM 2009, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 dan lima kali nilai suapan mana-mana yang lebih tinggi.

Bagi Akta Penggubahan Wang haram pula, boleh penjara tidak melebihi 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil haram atau RM 5 juta mana yang lebih tinggi.
Siasatan SPRM masih diteruskan dan semua yang ditahan dijangka akan direman di mahkamah majisteret esok.

DATO’ AZAM BAKI
PENGARAH SIASATAN
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

PUTRAJAYA
15 OGOS 2016

No comments: