Zinnirah
Kulai, Johor.
Ustazah Shahidah Sheikh Ahmad
JAWAPAN:
Banyak
di sana hadis-hadis yang menunjukkan kelebihan 10 awal zulhijjah dan puasa pada
hari2 tersebut, antaranya,
1. Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas RA bahawa Baginda Nabi SAW bersabda yg bermaksud :
“Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu sepuluh hari Zulhijjah-”. Para Sahabat Baginda bertanya : “Apakah juga (pengecualian itu) termasuk jihad pada jalan Allah ?”. Ujar Baginda : “Tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan Allah kecuali bagi seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun”.
2. Imam Ahmad Rahimahullah meriwayatkan
dari Ibnu ‘Umar RA bahawa Baginda SAW bersabda maksudnya : “Tiada suatu haripun,
amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari sepuluh
Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa
Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”.
3. Ibnu Hibban di dalam kitab Sahihnya
meriwayatkan dari Jabir RA bahawa Baginda SAW bersabda : “Seutama-utama hari
adalah hari ‘Arafah”.
JENIS AMALAN YANG DIANJURKAN
PADANYA.
Pertama
: Menunaikan ibadah haji dan
‘umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadith yang menyatakan
kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi SAW : “Satu ‘umrah ke ‘umrah yang
lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik
(diterima) tiada baginya balasan melainkan Syurga”.
Kedua : Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari ‘Arafah.
Dari
Abu Sa’id al Khudri RA berkata : ‘Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Tiada
seorangpun yang berpuasa pada satu hari di jalan Allah melainkan Allah
menjauhkan dengan puasanya itu mukanya dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun”
(Muttafaq ‘alaih).
Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan
dari Abi Qatadah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Puasa pada hari ‘Arafah,
saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang
mendatang”.
Ketiga : Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah Ta’ala yang bermaksud : “(Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum)”, hari-hari tersebut dijelaskan sebagai sepuluh hari di bulan Zulhijjah. Oleh kerana itulah para ‘Ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadith Ibnu ‘Umar RA yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Rahimahullah, di antaranya : “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”.
Lazimnya
kita memahami zikir-zikir ini disebut pada hari-hari raya sahaja, tetapi dalam
hadis ini menunjukkan kita disarankan untuk membanyakkannya pada 10 hari
pertama.
Imam
Al Bukhari meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah RA kedua mereka pada
hari-hari tersebut selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang
ramai. Imam Ishaq meriwayatkan bahawa para Fuqaha’ (ahli feqah) di kalangan
Tabi’in (generasi selepas Sahabat Nabi) sentiasa membaca pada hari-hari itu,
“[Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha
Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa LillahI Hamdu]”.
Adalah amat digalakkan supaya suara
ditinggikan ketika bertakbir di pasar, rumah, jalan, masjid dan selainnya
berdasarkan firman Allah Ta’ala yang bermaksud : “( Dan supaya kamu membesarkan
(bertakbir) Allah di atas ni’matNya menghidayat kamu)”. Dibolehkan juga pada
hari-hari tersebut berzikir dengan apa-apa zikir yang lain dan segala do’a yang
baik.
Keempat : Bertaubat dan meninggalkan segala ma’siat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana ma’siat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Baginda Nabi SAW bersabda : “Sesungguhnya Allah mencemburui (tidak suka) apabila seseorang hambaNya melakukan perkara yang ditegahNya” (Muttafaq ‘alaihi).
Kelima : Memperbanyakkan amalan soleh (baik) terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, membaca al Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pahalanya pada hari-hari tersebut.
Amalan yang dikerjakan ketika itu
walaupun ia kecil tetapi ianya lebih disukai oleh Allah Ta’ala jika dibandingkan
pada hari-hari lain, begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan
Allah yang dikatogerikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat
kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang
ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati
syahid).
Keenam : Disyari’atkan bertakbir pada beberapa hari yang raya mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjamaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ‘ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zohor hari raya haji (10 Zulhijjah), kesemuanya berakhir sehingga waktu ‘Asar pada hari ketiga belas (13) Zulhijjah.
Ketujuh : Disyari’atkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah (amalan) Nabi Allah Ibrahim ‘AS setelah Allah Ta’ala mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail ‘AS tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.
Kelapan : Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Ummu Salamah RA bahawa Nabi SAW bersabda : “Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya”,
Dan di dalam riwayat lain : “Maka
janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban”. Perintah
(sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa
haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah
dijelaskan oleh Allah Ta’ala, maksudnya : “(Dan janganlah kamu mencukur rambut
kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada
penduduk Makkah) itu sampai ke tempatnya)”. Larangan (memotong rambut dan kuku)
ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan
tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan
seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok
kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.
Kesembilan : Setiap muslim hendaklah berusaha untuk menunaikan solat hari raya secara berjamaah, menunggu mendengar khutbah yang dibaca oleh imam selepas selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya. Sepatutnyalah dia mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini ; ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan.
Kesimpulan:
Kita
disunatkan berpuasa selama 9 hari dari 1 hingga 9 Zulhijjah, jika tidak mampu
puasalah berapa hari yg mampu, atau paling kurang pada hari ke 9. Jika tidak
mampu melakukan semua, janganlah tinggalkan semua. Begitu juga amalan-amalan
lain yang disebut di atas.
Wallahu ‘Aklam.
No comments:
Post a Comment