Saturday, August 28, 2010

Mengimbas kembali Teori 18 Tahun menjelang 31 Ogos

Ada beberapa sebab saya mengimbas kembali Teori 18 Tahun Tan Sri Sanusi Junid. Bukan teorinya yang menjadi kebetulan berlaku setiap 18 tahun, tapi ada suratan takdir yang tersurat dan tersirat yang perlu di ketahui oleh anak bangsa.

Tan Sri Sanusi adalah seorang pemikir dan perpandangan tajam. Sementelah lagi beberapa hari lagi Malaysia akan menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan yang Ke 53. Oleh itu wajarlah sesuatu yang jadi lipatan sejarah dibuka supaya generasi muda dapat memahami sejarah penubuhan UMNO, sejarah penubuhan PAS dan keterlibatan Hj Fuad dengan British dalam penubuhan PAS, sejarah Pattani dan kemusnahan kawasan berpopulasi tinggi Melayu di Selatan Thai (yang dulunya adalah Kerajaan Melayu Islam Pattani) trend undi semasa dan cabaran Melayu Islam akan datang.

Selain penulisan Tan Sri Sanusi Junid, saya akan masukkan juga Sejarah Kerajaan Reman  di Hulu Perak dalam keluaran akan datang bagi pencerahan sejarah generasi muda.

http://sanusijunid.blogspot.com/2010/02/teori-18-tahun.html

MENGIMBAS KEMBALI ANGKA 18


GPMS - SINGA PERJUANGAN BANGSA


1. Pada hari Sabtu 13 Februari, 2010 saya telah dijemput ke satu kursus untuk pemimpin-pemimpin baru GPMS, dari seluruh negara, di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras. Perjumpaan bermula pada pukul 2.45 petang. Walau pun tahun ini dinamakan tahun baru harimau untuk orang-orang China tetapi GPMS telah memilih gelaran 'Singa Perjuangan Bangsa' untuk pemimpin dan ahli organisasi mereka.

MELAYU DIGUGAT DAN DIGIGIT

2. Setelah selesai menyanyi lagu GPMS Presiden GPMS telah menyampaikan ucapan aluan dan selepasnya saya dijemput untuk berucap atas tajuk 'Melayu Digugat dan Digigit'. Persoalan yang harus saya huraikan ialah mengenai bagaimanakah singa perjuangan bangsa ini harus bertindak bila bangsanya telah digugat dan digigit.

MAYC TIDAK DAPAT MEMBANTU

3. Keadaan majlis ini berbeza dengan majlis MAYC Wilayah Persekutuan yang saya hadiri pada petang 6 Februari, 2010 di Pusat Kecemerlangan Rakan Muda, Komplek Belia, Kg. Pandan. Majlis ini diberi tajuk 'Bicara Tokoh'. Pemimpin-pemimpin muda MAYC ini ingin mengetahui sejarah gemilang perjuangan MAYC di masa silam kerana MAYC yang baru kini masih di peringkat penubuhan sementara MAYC lama pula mengikut undang-undang, tidak ada lagi, kerana lima tahun berturut-turut MAYC tidak mengadakan mesyuarat agungnya; dan mereka yang masih mengaku sebagai pemimpin-pemimpinnya, walau pun sebenarnya sudah tidak sah lagi, sedang sibuk memikirkan cara memfaraidkan harta pusaka persatuan sementara persatuan mati tanpa kubur. Begitulah gambarannya. Oleh itu, MAYC sebagai sebuah pertubuhan kini tidak mungkin boleh turut membantu GPMS jika bangsa Melayu sudah tergugat dan digigit.

JANGAN SALAHKAN ORANG LAIN


4. Sebenarnya tidak ada orang yang berani menggugat dan menggigit bangsa Melayu kecualilah orang-orang Melayu sendiri memaksa dirinya supaya digugat dan digigit.

DUA PEMIMPIN BELIA JADI PERDANA MENTERI

5. Allah s.w.t. telah mentakdirkan dua tokoh belia menduduki kerusi Perdana Menteri Malaysia, seorang dari MAYC, iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad yang pernah menjadi Naib Presiden MAYC, dan seorang lagi lagi dari GPMS iaitu Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi. Hampir ada yang ketiga dari ABIM.


6. Saya perhatikan perbezaan yang ketara antara kedua orang tokoh ini. Tun Dr. Mahathir kekal dengan kawan-kawannya yang seangkatan dalam belia dan sedarjah dengannya di sekolah menengah dan di universiti. Beliau terus berkawan dengan Presiden MAYC ke 2 Allahyarham Tunku Abdullah, iaitu kawannya di waktu dalam MAYC, malahan yang memecat beliau dari MAYC pun beliau kekalkan sebagai kawan. Tun Dr. Mahathir juga rapat dengan kawan-kawan dalam SAHOCA dan setiap tahun ada pertemuan dengan doktor-doktor yang belajar dengannya di Universiti Malaya, Singapura. Malahan kawan-kawan lama Tun Dr. Mahathir lebih mempengaruhinya dari anggota keluarganya sendiri. Jika ada anggota keluarga yang mempengaruhi beliau itu adalah pengaruh kerana ilmu yang ada pada mereka dan jawatan yang mereka perolehi sendiri, seperti Tun Dr. Ismail Mohd Ali, Gabenor Bank Negara dan Gen (B) Hashim Mohd Ali yang naik dalam tentera atas kemampuannya sendiri.

7. Tun Abdullah sebaliknya lebih dipengaruhi oleh anggota keluarga, khususnya anak dan menantu, dan lebih dipengaruhi oleh kawan-kawan menantunya yang hanya rapat dengannya setelah beliau naik menjadi Perdana Menteri. Ramai kawan-kawannya, termasuk dari kalangan GPMS, yang kecewa kerana tidak dapat menegurnya atau mendekatinya bila dia di atas. Memanglah ada orang-orang GPMS yang naik di zamannya dan mujurlah ada mereka kerana mereka inilah yang telah menunjukkan ketinggian budi mereka dengan memberi anugerah-anugerah doktor kehormat, dari universiti yang mereka pimpin, kepadanya, apabila beliau sudah turun dari jawatan. Anuegerah-anugerah ini walau bagaimana pun sukar untuk mengimbangi kegagalan kepimpinannya.


KAWAN BARU ANWAR IBRAHIM

8. Dato' Seri Anwar Ibrahim juga saya kira akan selamat jika dia terus mendekati kawan-kawan lama beliau, di dalam ABIM, bila dia hampir sampai ke peringkat atas sekali. Malangnya dia ada kawan-kawan baru seperti Nallakaruppan, Azmin. Azizan, Saiful dan Wolfowitz yang tidak pernah menjadi ahli ABIM.

SIKAP TERHADAP UGAMA

9. Seperkara lagi saya perhatikan ialah hubungan 3 tokoh ini dengan ugama. Tun Dr. Mahathir tidak berpendidikan ugama tetapi bertambah mendekati ugama dengan bertambah tinggi kedudukannya. Tun Abdullah berpendidikan ugama tetapi tidak memperjuangkan ugama dalam hidupnya dan terlalu berani memperkenalkan pendekatan baru Islam Hadhari hanya untuk menawan hati Barat. Dato' Seri Anwar tidak berpendidikan ugama, tetapi memperjuangkan ugama di masa mudanya, tetapi terus berubah menjadi bertambah sekular dengan bertambah tinggi pangkat yang dinaikinya.

ARISTOTLE DIBUKTIKAN SALAH

10. Saya telah ceritakan kepada pemimpin-pemimpin GPMS sejarah pergolakan dalam negara dari segi demografi dan isu-isu perpecahan berikutnya yang membawa kepada kelemahan politik orang-orang Melayu. Mengikut Aristotle, 'It is impossible to have political power without economic power' ( adalah mustahil memiliki kuasa politik tanpa kuasa ekonomi ). Orang Melayu telah membuktikan bahawa Aristotle itu boleh salah dalam pendapatnya, kerana Melayu ada kuasa politik tanpa kuasa ekonomi.

TEORI 18 TAHUN

11. Dalam Mesyuarat Agung MAYC ke 34 pada tahun 1988, iaitu 22 tahun yang lalu saya telah memperkenalkan kepada sekitar 2,000 orang ahli perwakilan MAYC teori 18 tahun. Teori ini saya sedari setelah saya membuat perkiraan melihat tarikh-tarikh peristiwa penting dalam negara dan sekitar Tenggara Asia setelah UMNO diharamkan pada tahun 1987, iaitu pada tahun sebelum ucapan ini disampaikan. Ketepatan anggaran tahun ini berbeza 1 atau 2 tahun dari tahun yang dipilih.

1897


12. Dari sebelum tahun 1897 saya dapati ada pergolakan berlaku di Selatan Thailand. Pihak British mengetahui bahawa pergolakan ini berlaku kerana penduduk Weng, Yala, Narathiwat dan Pattani di Selatan Thailand sebenarnya dari rumpun Melayu dan tidak selesa di bawah pemerintahan Thai. Walau bagaimana pun raja Melayu di Utara Semenanjung Malaysia tidak merasa bimbang jika wilayah di Selatan Thailand ini menjadi sebahagian dari negerinya maka kedudukan raja akan terancam. Oleh itu pada tahun 1897 ke empat wilayah di Selatan Thailand menjadi sebahagian dari Thailand. Ini bererti peluang untuk menambahkan penduduk Melayu di Semenanjung Malaya telah terkendala buat selama-lamanya.

13. Dari 1897 pihak British sibuk mempengaruhi raja-raja Melayu untuk menerima penasihat bagai pemerintahan negeri. Johore adalah negeri terakhir menerima seorang penasihat pada tahun 1914. Dengan penerimaan ini maka pada tahun 1915 genaplah 18 tahun dari tahun 1897 proses penaklukan negeri-negeri Melayu dilakukan dengan cara terhormat tanpa disedari.

1915

14. Mulai tahun 1915 pihak penasihat British telah memperkenalkan bendera berasingan bagi setiap negeri, lagu negeri yang berlainan, menamakan rakyat bagi setiap negeri berkaitan dengan nama negeri masing-masing. Orang Melayu pada waktu itu memanggil diri mereka bukan lagi sebagai orang Melayu tetapi sebagai orang Perlis, orang Penang, orang Perak, orang Kelantan, orang Johor, orang Selangor, orang Melaka dan lain-lain.

15. Mulai tahun 1915 negeri-negeri Melayu telah mula menerima pendatang atau imigran dari China dan India kerana masalah politik dan desakan ekonomi di negara masing-masing. Walau bagaimana pun pendatang China dan India ini tidak datang dengan cara yang dirancang oleh British. Oleh kerana pendatang dari India dan China di waktu ini ialah sebagai imigran ekonomi atau 'economics immigrant' maka apabila dunia dilanda oleh krisis ekonomi pada tahun 1929 maka majoriti dari mereka telah kembali ke negara masing-masing.


1933


16. 18 tahun dari tahun 1915 iaitu pada tahun 1933 pihak British telah mengizinkan imigran dari China dan India datang kembali ke Malaysia dengan cara yang terancang. Orang-orang China telah dipelihara oleh British, antara lain, sebagai pemborong kecil dan pekedai-pekedai runcit untuk menyalurkan hasil keluaran industri pengguna di Britain melalui pemborong-pembekal yang besar-besar sebagai 'trading houses' milik penjajah British. Orang-orang India pula, antara lain, dibawa ke Malaya sebagai buruh di estet-estet milik British; dan The Chartered Bank yang pada waktu itu menghadapi masalah meminjamkan wang kepada pengguna dan peniaga kecil Melayu telah membawa ceti ke Malaya sebagai orang tengah dalam urusan pinjaman wang.


KESEDARAN BARU KERANA KEMARAAN JEPUN

17. Sejarah berlalu dan dalam Perang Dunia Kedua pihak Jepun telah mengalahkan British di Malaya dan Belanda di Indonesia. Satu kesedaran baru telah timbul di kalangan pemimpin dan ulama Melayu atas kemungkinan penjajah British dan Belanda dikalahkan oleh satu kuasa negara bukan Eropah iaitu negara Jepun dari Asia. Pelajar-pelajar Melayu yang pulang dari Timur Tengah juga begitu bersemangat kerana kebangkitan gerakan kemerdekaan di negara-negara Islam lebih-lebih melihat kejayaan Jerman yang turut disokong oleh Turki.


18. Bila Jerman dan Jepun kalah dalam Perang Dunia Kedua pertubuhan-pertubuhan politik Melayu telah pun siap tumbuh seperti cendawan di dunia Melayu. Pihak Soekarno dan Hatta memimpin usaha memerdekakan Indonesia. Mereka berhasrat menubuhkan Melayu Raya atau Indonesia Raya. Wadah yang mulanya hampir gagal kerana hasrat Belanda untuk memerdekakan Aceh akhirnya telah terbendung kerana penerimaan Aceh ke atas konsep Melayu Raya yang dijanjikan oleh Soekarno dan Hatta akan berlandaskan syari'at Islam.


19. Kerana keghairahan menang dalam Perang Dunia Kedua pihak British berhasrat untuk menjadikan Malaya sebuah koloni British yang lebih mantap seperti New Zealand, Australia dan Canada. Wadah Malayan Union telah diperkenalkan. Di bawah Malayan Union taraf raja-raja Melayu diperhinakan ke taraf yang hampir sama dengan penghulu mukim. Penghinaan ini tidak dapat diterima oleh orang-orang Melayu.

MENENTANG GAGASAN MALAYAN UNION

20. Dari 1 hingga 4 Mac, 1946 satu Kongres Melayu telah diadakan di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, Kuala Lumpur. Keputusan dibuat untuk menentang Malayan Union. Pada 1 April, 1946 Malayan Union telah ditubuhkan dengan perlantikan Sir Edward Gent sebagai Gabenor Union of Malaya yang pertama. Sebuah komiti telah ditubuhkan untuk merancang tentangan terhadap Malayan Union yang terdiri dari wakil-wakil berikut:

Johor - Dato' Onn Jaafar - Pengerusi

Tuan Syed Alwi Al Hadi


Selangor - Encik Zainal Abidin bin Ahmad ( Zaaba )

Dato' Hamzah bin Abdullah

Perak - Dato' Panglima Bukit Gantang

Kedah - Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj

Perlis - Encik Salleh bin Othman

Kelantan - Dato' Nik Ahmad Kamil


P. Pinang - Dato' Ibrahim bin Mahmud

Pahang - Encik Yope Muhiddin

Singapura - Encik Rahim Ibrahim

PKMM - Encik Ibrahim Kasim



PENUBUHAN UMNO


21. Dari 11 hingga 12 Mei, 1946 satu lagi perjumpaan telah diadakan di Istana Johore di Johor Bharu yang telah memutuskan supaya UMNO ditubuhkan untuk memperjuangkan kemerdekaan dan bukan setakat menentang Malayan Union sebagaimana keputusan Kongres Melayu pertama di Sultan Sulaiman Kelab. Semua pertubuhan dan persatuan Melayu telah mengambil keputusan untuk dibubarkan kecuali Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang terikat kepada janji dengan Soekarno-Hatta supaya Malaya hanya akan menerima kemerdekaan melalui Melayu Raya. PKMM telah keluar dari pakatan menubuhkan UMNO.

1951


22. 18 tahun dari tahun 1933 iaitu pada tahun 1951 berlaku lagi perpecahan di dalam UMNO dengan berhentinya Dato' Onn Jaafar dan berlaku perebutan kuasa untuk jawatan Ketua UMNO. Yang bertanding untuk jawatan ini ialah:

Tunku Abdul Rahman Putra

(Cadangan oleh Encik Bahaman bin Shamsudin) 57 undi


Haji Ahmad Fuad Hassan (Yang menubuhkan PAS)


(Cadangan oleh Dato' Onn Jaafar) 11 undi

23. Haji Ahmad Fuad telah dikalahkan oleh Tunku Abdul Rahman dengan 46 undi. Calon-calon lain yang kalah ialah C. M. Yusof yang dicadangkan oleh Raja Ayob bin Raja Bot dan Encik Tajuddin bin Uda Isa. Encik Mustapha Hussein dari PKMM, yang telah memasuki UMNO walau pun PKMM menarik diri, telah menarik diri dari bertanding.

PKMM DIHARAMKAN


24. Apabila PKMM diharamkan tiga buah parti tunjangan baru telah ditubuhkan oleh pemimpin-pemimpin PKMM, iaitu (1) Parti Melayu Semenanjung ( PMS ) dipimpin oleh Bung Kahar sebagai Ketua dan Bung Isa sebagai Setiausaha Agungnya; (2) Parti Islam Se Malaya ( Pa - Alif - Sin = PAS ) di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin Al Helmi dan (3) Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) pimpinan Ahmad Boestamam. Bung Kahar, Dr. Buhanuddin dan Ahmad Boestamam ketiga-tiganya berketurunan dari Indonesia. PMS membantah pemberian kerakyatan yang berleluasa kepada bukan Melayu, PAS menentang kemerdekaan kerana tidak mewujudkan negara Islam dan PSRM menentang kemerdekaan kerana ianya ciptaan kapitalis. Gabungan idea PMS, PAS dan PSRM merupakan NASAKOM ala Malaya.


25. Agak aneh juga kerana yang mengusahakan penubuhan PAS ialah Haji Ahmad Fuad setelah beliau dikalahkan oleh Tunku Abdul Rahman, dalam pertandingan untuk menjadi ketua UMNO, tetapi beliau sendiri tidak pernah menjadi ahli PAS, sebaliknya dilantik oleh pihak British untuk menjadi Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang.


KEMERDEKAAN

26. Umno dan sekutunya, MCA dan MIC, dalam Parti Perikatan telah berjaya memimpin Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos, 1957. Bersekali dengan perjanjian kemerdekaan telah ditandatangani juga Perjanjian Keselamatan di mana penjajah British berjanji untuk kembali mentadbir Malaya seandainya berlaku huru-hara antara kaum dalam masa 10 tahun sehingga 31 Ogos, 1967.


27. British mengetahui bahawa pemerintahan Malaya boleh aman, dan tidak akan berlaku huru-hara, jika UMNO kuat kerana didukung oleh orang-orang Melayu. Jika UMNO lemah dan kurang mendapat sokongan orang-orang Melayu maka keamanan negara boleh terancam. Keadaan yang melemahkan politik orang-orang Melayu telah muncul pada tahun 1962 apabila PAS mengkafirkan UMNO.



28. Tertubuhnya Malaysia pada tahun 1963 tidak menambah kekuatan politik orang-orang Melayu. Malahan fokas terhadap masalah orang-orang Melayu bertambah kurang apabila Malaysia yang baru ditubuhkan mula menghadapi konfrontasi dari Indonesia. Dalam Pilihanraya Umum 1964 kekuatan UMNO telah jelas menurun. Kesan dari perpecahan bangsa Melayu dengan isu pengkafiran ini memakan masa untuk dirasai. Malahan Majlis Raja-Raja Melayu telah mengharamkan fatwa Dewan Ulama PAS yang mengkafirkan UMNO itu kerana sudah meramalkan kesannya sebaik sahaja fatwa dibuat pada tahun 1962.(komen penulis- sifat mujassimah /fahaman kaum muda/Wahhabi)


1969


29. Rupa-rupanya kesan fatwa PAS pada tahun 1962 itu telah memberi kesan dalam Pilihanraya Umum 1969 iaitu 18 tahun setelah tahun 1951. Tingkah laku DAP setelah mengetahui keputusan pilihanraya ini sungguh menghina orang-orang Melayu. Mereka merasakan negara Malaya ini sudah menjadi milik mereka sahaja. Rusuhan kaum telah berlaku lantaran keputusan ini. Adalah jelas bahawa kelemahan politik orang-orang Melayu, sebagaimana diketahui oleh penjajah British, menjadi ancaman kepada keselamatan negara. Malangnya bagi penjajah British kerana rusuhan kaum ini berlaku dua tahun setelah tamat perjanjian keselamatan yang ditandatangani di waktu Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos, 1957.

BARISAN NASIONAL DITUBUHKAN


30. Apabila maruah Melayu terancam barulah pemimpin-pemimpin politik Melayu bersatu semula di dalam Barisan Nasional di bawah pimpinan Tun Abdul Razak. Tetapi lambat laun pemimpin-pemimpin Melayu menjadi selesa semula. Akibatnya PAS terkeluar dari Barisan Nasional di zaman Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri.

31. Bila Tun Dr. Mahathir mengambil alih kepimpinan negara, menggantikan Tun Hussein Onn yang bersara setelah menjalani pembedahan jantung, berlakulah pertandingan antara Tun Musa Hitam dengan Tengku Razaleigh Hamzah untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO yang secara otomatik memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri. Tun Musa menang kerana jentera Tun Dr. Mahathir memihak kepadanya.


ANWAR MENJADI AHLI UMNO


32. Dato' Seri Anwar Ibrahim menjadi ahli UMNO apabila Tun Dr. Mahathir mengambil alih jawatan Perdana Menteri. Walaupun usaha untuk melemahkan kedudukan Anwar di dalam ABIM, untuk dia mahu menjadi ahli UMNO, telah diusahakan oleh jentera Tun Dr. Mahathir tetapi yang mempercepatkan Anwar masuk ke dalam UMNO ialah dengan usaha Tengku Razaleigh Hamzah, Dato' Harun Idris, Dato' Ibrahim Ali dan Ustaz Osman Bakar Kampung Gajah. Dayausaha Tengku Razaleigh ini adalah dengan harapan Anwar akan menyokongnya dalam pusingan kedua beliau menentang Tun Musa untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO. Ternyata, sebagaimana yang diramalkan oleh Tun Dr. Mahathir, Dato' Seri Anwar menyokong Tun Musa dalam pusingan kedua bertanding dengan Tengku Razaleigh.

MUSA MENENTANG MAHATHIR

33. Kerana cemburunya terhadap Dato' Seri Anwar lantaran merasakan, jika terlalu lama menunggu, kepimpinan negara akan diserah oleh Tun Mahathir kepada Anwar, maka Tun Musa telah meletak jawatan dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO. Tun Mahathir menerima perletakan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan menyerahkan kepada Majlis Tertinggi untuk menentukan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden UMNO. Majlis tertinggi menolak rancangan mengadakan Mesyuarat Agung Khas untuk meminta Tun Musa menarik balik perletakan jawatannya tetapi bersetuju dengan permintaan wakil UMNO Johor, dalam Majlis Tertinggi, supaya satu rombongan dihantar ke London untuk merayu Tun Musa menarik balik perletakan jawatannya sebagai Timbalan Presiden UMNO.

34. Penarikan balik perletakan jawatan Timbalan Presiden UMNO oleh Tun Musa tidak bererti beliau juga menjadi Timbalan Perdana Menteri semula. Perletakan jawatan dari menjadi Timbalan Perdana Menteri telah diterima oleh Perdana Menteri kerana perlantikan Timbalan Perdana Menteri adalah atas budi bicara Perdana Menteri. Tun Dr. Mahathir telah melantik Tun Ghafar Baba menjadi Timbalan Perdana Menteri menggantikan Tun Musa Hitam.


1987


TENGKU RAZALEIGH MENENTANG TUN DR. MAHATHIR


35. Dalam Perhimpunan Agung UMNO berikutnya pada tahun 1987 (18 tahun dari 1969) Tengku Razaleigh telah menentang Tun Dr. Mahathir untuk jawatan Presiden UMNO. Beliau beregu, dalam Team B, dengan Tun Musa yang bertanding mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden yang masih disandangnya. Tun Ghafar telah mengalahkan Tun Musa dengan 40 undi dan Tengku Razaleigh telah dikalahkan oleh Tun Dr. Mahathir. Berikutnya UMNO telah diheret ke mahkamah oleh 11 orang ahli dengan sokongan Team B. UMNO telah diharamkan dan UMNO Baru telah ditubuhkan.



36. Tengku Razaleigh telah menajakan parti Semangat 46 yang telah didaftarkan pada 3 Jun, 1989. Dalam Pilihanraya Umum 1990 Parti Semangat 46 telah berkerjasama dengan DAP dan Parti Rakyat dalam Gagasan Rakyat dan berkerjasama dalam Angkatan Perpaduan Ummah ( APU ) dengan parti-parti Islam PAS, BERJASA dan HAMIM. APU berjaya 100% di Kelantan ( 24 ADUN PAS dan 15 ADUN S46 ).

ANWAR MENENTANG GHAFAR


37. Di waktu Dato' Seri Anwar Ibrahim memasuki UMNO pada awal 80an beliau direstui oleh beberapa tokoh sahaja di dalam ABIM tetapi difahamkan beliau telah memberi bayangan kepada kawan-kawannya dalam WAMY bahawa beliau akan mengambil alih kuasa sebagai Perdana Menteri dalam masa 10 tahun.

Antara yang mengungkit janji ini setelah 10 tahun berlalu pada tahun 1992 ialah seorang ulama dari Sudan bernama Hasan Thurabi. Tidak hairanlah jika pada tahun 1993 Dato' Seri Anwar telah mengorak langkah untuk menentang Tun Ghafar Baba dan merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO darinya.



38. Setelah melihat arus pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO tidak memihak kepadanya Tun Ghafar Baba telah menarik diri dari mempertahankan jawatannya dan Dato' Seri Anwar telah menang tanpa bertanding dan menjadi Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1993.


SEMANGAT 46 DIBUBARKAN


39. Sejak Pilihanraya Umum 1990 sehingga Pilihanraya Umum 1995 hubungan S46 dengan DAP menjadi renggang dan pakatan di dalam APU menjadi retak. Prestasi S46 dalam Pilihanraya Umum 1995 sungguh mengecewakan sehingga Dato' Rais Yatim, Timbalan Presiden S46 telah menerima kekalahan. Pada bulan May, 1996 Parti S46 telah dibubarkan dan ahli-ahlinya kembali kepada UMNO.


ANWAR DIPECAT

40. Dato' Seri Anwar telah memegang jawatan Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri dari tahun 1993 hingga 1998 apabila belia dipecat dari kedua jawatan itu kerana kesalahan rasuah dan liwat.


41. Waktu Dato' Seri Anwar di dalam penjara Parti Keadilan Rakyat telah ditubuh dan didaftarkan pada 4 April, 1999. Dalam Pilihanraya Umum 1999 Parti Keadilan Rakyat, sebagai anggota dalam pakatan Barisan Alternatif bersama PAS dan DAP, telah menang satu kerusi sahaja di Permatang Pauh yang ditandingi oleh Dati Seri Wan Azizah Presiden Parti. Pada 5 Julai, 2002 satu Perjanjian Persefahaman telah ditandatangani untuk menyatukan PSRM dengan Parti Keadilan Rakyat.

42. Memandang semua kepada perkembangan ini saya meramalkan 18 tahun dari tahun 1987 iaitu pada tahun 2005 kedudukan politik orang Melayu akan sesungguhnya menjadi terancam.

HARAPAN CERAH MENJADI GELAP


43. Pada tahun 2003 Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mengambil alih kepimpinan negara. Dalam satu pertemuan dengan pemimpin-pemimpin GPMS saya dengan sinisnya telah dicabar sama ada saya akan gembira jika ramalan saya atas punahnya kuasa Melayu betul berlaku sebagaimana yang saya ramalkan. Saya menjawab, 'tidak ada dalam saluran darah saya setitik pun darah yang mendurhaka kepada UMNO atau kepada Melayu'. Saya menegaskan teori 18 tahun ini hanya satu amaran untuk semua cuba menghindarkan berlaku apa yang mungkin berlaku.


2005


44. Alhamdulillah pada tahun 2004 Barisan Nasional mendapat keputusan yang cukup meyakinkan. Dengan keputusan cemerlang Pilihanraya Umum 2004 ini terbuktilah teori 18 tahun yang seharusnya memberi gambaran buruk pada tahun 2005 kerana 1987 + 18 = 2005 terbuktilah sudah dapat dibantutkan. Malangnya, dengan keputusan durjana Pilihanraya Umum ke 12 pada tahun 2008, akibat dari peranan anak dan menantu, teori 18 menghantui semula. Tahun berikutnya bagi Teori 18 tahun ialah 2005 + 18 = 2023. Tahun ini ialah 10 tahun selepas pilihanraya yang akan datang yang wajib diadakan pada atau sebelum tahun 2013. Bagaimanakah prestasi BN dalam Pilihanraya Umum ke 13 pada tahun 2013.

DI MANAKAH SILAPNYA KITA?


45. Kini saya berdepan sekali lagi dengan pemimpin-pemimpin GPMS. Sudah tentu soalannya ialah 'Di manakah silapnya kita?'


46. Kesilapan kita ialah kerana kita sudah menyimpang jauh dari nilai-nilai murni seperti amanah, berani, disiplin, rajin dan setia iaitu sifat-sifat terpuji yang sepatutnya ada pada orang-orang yang berugama Islam. Sifat-sifat inilah yang diketengahkan dalam semangat Bushido orang-orang Jepun, semangat Hwarang orang-orang Korea, semangat Jin Qing orang-orang China, dan semangat Muru'ah orang-orang Arab. Bila British memperkenalkan Malayan Union pada tahun 1946 dan raja-raja kita diturunkan taraf ke tahap penghulu mukim, kita merasa terhina kerana maruah kita dijatuhkan. Bila kita kalah banyak kerusi dalam Pilihanraya Umum 1969 sehingga kita merasa terhina apabila diminta menyerahkan pemerintahan Negeri Selangor kepada DAP, maka tanpa UMNO menjadi lebih Islam perjuangannya, dan tanpa bertambah semangat nasionalisma pada PAS, UMNO dan PAS dapat duduk bersama di dalam Barisan Nasional walaupun selama 7 tahun sebelumnya UMNO tersinggung kerana dikafirkan oleh PAS. Tetapi pemimpin UMNO tidak merasa terhina walaupun lebih banyak kekalahan kerusi dalam Pilihanraya Umum ke 12 pada tahun 2008 daripada yang diterima pada tahun 1969. Kerana kita sudah menjadi penakut maka kita terima kekalahan tanpa merasa malu dan terhina. Kita bersalah kerana sudah menjadi bangsa penakut.

No comments: