Wednesday, April 25, 2012

BERSEH 3.0- Haram menyertai perarakan untuk meruntuhkan Pemerintah Islam-Mufti Wilayah Persekutuan

Rasulullah S.A.W. telah mengingatkan dalam hadis-hadis sahih bahawa di antara pelbagai aliran kefahaman agama, hanya pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang akan selamat di akhirat kelak. Pegangan Ahli Sunnah meliputi pelbagai aspek agama bermula daripada hukum akidah hinggalah kepada hubungan antara pemerintah dan rakyat. Memandangkan golongan pemerintah atau  "ulilamri" begitu penting bagi menjaga kesucian agama dan keutuhan masyarakat Islam, nas-nas syarak meletakkan ketaatan kepada mereka selepas Allah dan Rasulnya seperti yang terdapat dalam surah Annisa’ ayat 59. Oleh kerana hubungan antara pemerintah dan rakyat begitu penting, para ulama membahaskannya dalam kitabkitab akidah.
2. Berasaskan dalil-dalil yang jelas daripada Quran dan Sunnah, para ulama Ahli Sunnah telah ijmak mengatakan bahawa taat kepada pemerintah adalah fardhu ke atas setiap muslim. Al-Mawardi ketika mengulas ayat 59 Surah Annisa’ mengatakan:
“Maka Allah (melalui ayat ini) memfardhukan ke atas kita ta’at kepada para pemerintah daripada kalangan kita “
Ibnu Hajar dalam “Fathul Baari” menyatakan :
 
“Para ulama telah ijmak menyatakan wajib taat kepada pemerintah yang berkuasa dan berjihad bersamanya”
3. Sehubungan dengan itu, menderhaka kepada pemerintah adalah satu dosa besar yang diletakkan sebaris dengan dosa syirik, membunuh, makan harta anak yatim, makan riba, menderhaka kepada dua ibu bapa, seperti yang disebutkan oleh Ibnu Hajar dalam kitabnya Azzuwajir berasaskan hadis-hadis sahih riwayat Bukhari,
Muslim Ibnu Abi Hatim dan lainnya. Imam Nawawi dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim menyatakan :
َ
 "Adapun menderhaka kepada pemerintah dan memerangi mereka, maka hukumnya haram dengan ijmak ulama "
4. Termasuk dalam perbuatan derhaka ialah membantah tanpa mengikut saluran yang sah apa-apa keputusan pemerintah yang dibuat secara sah berasaskan kuasa yang diberikan kepada mereka dalam menjalankan urusan pentadbiran negara. Benih pertama kumpulan yang di gelar Khawarij ini ialah seorang yang di panggil Zulkhuwaisirah yang membantah cara Rasulullah S.A.W. membahagikan harta dan menyifatkannya sebagai “tidak adil”. Lalu Nabi S.A.W. bersabda dalam sebuah hadis riwayat Bukhari yang bermaksud, “orang ini dan pengikut-pengikutnya, mereka membaca Quran, tetapi sekadar melafazkannya sahaja, golongan ini boleh keluar dari agama seperti anak panah yang menembusi sasarannya (tanpa disedari)“. Dalam sebuah hadis riwayat Attabarani,
Rasulullah S.A.W. bersabda
penderhaka-penderhaka adalah anjing-anjing neraka ".
5. Adalah diperhatikan bahawa puak penderhaka yang dimaksudkan dalam hadis-hadis di atas, dan yang muncul kemudiannya di zaman Saidina Ali R.A. adalah terdiri daripada kalangan mereka yang membaca Quran, serta memakai jubah dan serban. Ini bermakna bahawa membaca Quran, memakai jubah dan serban tidaklah menjadikan seseorang itu kebal daripada terkena laknat yang disebut dalam hadishadis di atas, jika akidah dan tindak-tanduknya terkeluar dari landasan Ahli Sunnah Wal Jama’ah. Kenyataan inilah yang mendorong Imam Muhammad Bin Al-Husain Al-Ajurry As-Syafi’i memberi peringatan dalam bukunya “Kitab Al-Syri’ah”, “Para ulama dahulu dan kini sependapat menyatakan bahawa Khawarij adalah golongan yang jahat, penderhaka kepada Allah dan Rasulnya, sekalipun mereka sembahyang dan berpuasa, serta bersungguh-sungguh dalam beribadat, yang demikian itu tidak akan memberi manafaat kepada mereka”.
6. Apa yang dinyatakan oleh Imam Muhammad Bin Al-Husain di atas bersandarkan kepada hadis-hadis sahih yang banyak menjelaskan akibat buruk daripada tindakan penderhakaan, seperti menyebabkan seseorang mati dalam keadaan jahiliah, ditimpakan kehinaan oleh Allah S.W.T dan terputus jalan ke Syurga. Imam Annasaie meriwayatkan sabda Nabi S.A.W.
َ
“Sesiapa yang keluar dari sempadan taat dan memisahkan diri daripada kumpulan pemerintah, mati ia seperti mati jahiliah”
Imam Muslim meriwayatkan daripada Rasulullah S.A.W. sabdanya :
َ
Dan sesiapa yang mati tanpa ada kesetiaan kepada pemerintah, ia mati seperti matinya orang-orang jahiliah”
Imam Al-Bazzar meriwayatkan sabda Rasulullah S.A.W.
َ
“Mana-mana kumpulan manusia mengerakkan perarakan terhadap pemerintah untuk menghinanya, maka Allah akan menimpakan kehinaan ke atasnya sebelum hari akhirat”
Antara pesanan terakhir Rasulullah ketika Hijjatul Wada’, seperti yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Tirmizi dan lain-lain, ialah hadis yang bermaksud :
“Aku berpesan dengan sesungguhnya hendaklah kamu beribadat kepada Tuhanmu, berpuasa pada bulan ramadan, mengeluarkan zakat harta dengan suci hatimu dan taat kepada pemerintah-pemerintahmu, pasti kamu akan masuk syurga Tuhanmu” Hadis ini menjadikan taat kepada pemerintah sebagai salah satu jalan ke syurga. Ini bermakna jalan ke syurga terputus tanpa taat kepada pemerintah, walaupun terdapat amalan-amalan fardu yang lain seperti solat dan sebagainya.
7. Memandangkan kemusnahan yang sangat besar terhadap agama dan umat di sebabkan oleh kegiatan penderhakaan atau “bid’atul khuruj” ini, maka tidak hairanlah golongan penderhaka digelar oleh Rasulullah sebagai “Kilabunnar” (anjing-anjing neraka). Daripada pengalaman sejarah dan realiti masa kini seperti yang dialami oleh beberapa negara Islam yang terjerumus dalam kancah perang saudara, kegiatan yang bermula dengan tunjuk perasaan terhadap pemerintah, akhirnya mencetuskan keganasan yang membawa kepada pertumpahan darah, kehilangan nyawa, kemusnahan harta benda serta kewujudan suasana anarki dan kekacauan dalam negara. Berasaskan hakikat inilah, Imam Al-Ajurry ketika memperkatakan mengenai golongan ini menyatakan :
“Golongan penderhaka adalah orang-orang yang jahat, najis lagi keji. Begitu juga sesiapa yang sealiran dengan mereka daripada seluruh puak penderhaka yang mewarisi pemikiran ini dahulu dan kini”
8. Maka bertolak daripada kewajipan menasihati dan mengingatkan sesama muslimin, saya menyeru agar setiap umat Islam tidak melibatkan diri dengan apa juga bentuk sekalipun dalam sebarang tunjuk perasaan anti Kerajaan. Kerana perbuatan demikian adalah merupakan sebahagian daripada tindakan durhaka dan membatalkan kesetiaan dan ketaatan kepada pemerintah yang telah ijmak ulama mengharamkannya. Kesannya seperti yang dinyatakan nas-nas di atas boleh menjejas iman, memutuskan jalan ke syurga dan menyebabkan seseorang mati dalam keadaan jahiliah. Sayugia diperingatkan juga bahawa mereka yang terlibat dalam penganjurannya, bukan sahaja akan menanggung dosa perbuatan itu, tetapi juga dosa setiap orang yang mengikutnya, tanpa mengurangkan dosa para pengikut tersebut. Ini diterangkan dalam sebuah hadis riwayat Muslim yang bermaksud, “ ...
Dan sesiapa yang menganjurkan perbuatan jahat dalam Islam, maka ia akan menanggung dosa perbuatan tersebut dan dosa setiap orang yang mengikuti perbuatan tersebut selepasnya, tanpa mengurangkan sedikitpun dosa para pengikut tersebut”.
Mereka juga akan dipertanggungjawabkan di sisi Allah terhadap setiap kesan yang terbit daripada perbuatan tersebut, seperti pertumpahan darah, kehilangan nyawa, kemusnahan harta benda, serta kesengsaraan dan kesusahan yang ditanggung oleh orang ramai.
Datuk Hj Wan Zahidi bin Wan Teh
Mufti Wilayah Persekutuan
Selasa : 3 Syaaban 1432
5 Julai 2011

No comments: