Tuesday, March 27, 2012

Dosa dosa PAS pada umat Islam di Malaysia

Dosa PAS Yang Belum Terhapus?

Apabila pengarah penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad membuat kenyataan bahawa perpecahan dalam kalangan orang Melayu wujud kerana ada dua parti utama, iaitu PAS dan UMNO maka “perpecahan itu tidak harus dilihat sebagai satu masalah sebaliknya sebagai keuntungan kepada rakyat.” (Baca, PAS: Perpecahan Melayu Bukan Dosa, Malaysiakini, 28.2.2012).

Itu sebenarnya membuktikan bahawa PAS sebenarnya sedang berusaha menghapuskan dosa politik yang pernah dilakukannya sepanjang mempeloporkan politik sempit, mengkafirkan sesama Islam dan seterusnya tidak dapat menerima istilah Melayu dalam perjuangannya.

Perpecahan yang berlaku ketika sayap ulama dalam UMNO menubuhkan Hizbul Muslimin dan sehingga tertubuhnya PAS pada tahun 1951, jelas membuktikan perjuangan mereka adalah untuk memberikan warna Islam dalam politik Melayu dengan menekankan betapa pentingnya Falsafah Kebangsaan Melayu.

Berdasarkan buku karangan Dr Ismail Said, Menegak Agama Membela Bangsa: Perjuangan PAS 1951-1970 (2011) jelas membuktikan parti itu tidaklah seteruk dengan apa yang sedang berlaku sekarang. Meskipun dalam tempoh awal, dari kepimpinan Haji Ahmad Fuad Hassan, Dr Abas Alias, Profesor Zulkifli Muhammad dan Dr Burhanuddin al-Helmi mereka tidak pernah berhasrat membuang Melayu, tetapi PAS masakini sanggup membuang Melayu kerana dianggap tidak sehaluan dengan kehendak Islam.

Detik perpecahan Melayu yang lebih jelas ialah apabila PAS memulakan obor mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak menyokong parti itu manakala guru-guru pondok di Kelantan yang tidak menerimanya dikenakan pelbagai tekanan sehingga pondok-pondok yang didirikan untuk pendidikan Islam terpaksa ditutup (Baca, Dusuki Haji Ahmad, Dari Pondok ke Parlimen: Autobiografi Dato’ Dusuki Ahmad (2010) , ).

Era politik mengkafirkan sesama Islam telah dikesan bermula dalam pilihan raya umum tahun 1964 apabila salah seorang calonnya di Pasir Mas membuat ugutan jika tidak memberikan sokongan kepada sebuah parti yang berjuang atas nama Islam, maka jika seseorang itu mati, matinya adalah dalam keadaan kafir. Taburan fitnah itu kemudiannya berkembang luas sehinggalah salah seorang pejuang utama parti itu, iaitu Allahyarham Amaludin Darus, bekas anggota bomba berasal dari Perak dan kemudiannya menubuhkan parti itu di Pasir Mas pada tahun 1953 telah menyebut antara sebab beliau meninggalkan PAS kerana melihat perpaduan orang Melayu semakin meruncing termasuk atas masalah terpaksa diceraikan dalam BN pada tahun 1977.(Baca, Amaludin Darus, Kenapa Saya Tinggalkan PAS (1977), Serbasalah Melayu di Malaysia (1988) dan Demokrasi dan Diktator: Sepanjang Sejarah Malaysia (1988 )).
Kenapa perpecahan berlaku dalam kalangan orang Melayu? Sifatnya orang Melayu kerana terikat kuat dengan unsur-unsur Islam maka mereka begitu mudah mempercayai watak-watak yang bernaung dengan Islam tanpa cuba memahami apakah sebenarnya yang dibawa oleh watak-watak itu. Watak-watak Islam hanya dilihat dalam persekitaran boleh menghafal ayat-ayat al-Qur’an dan menceritakan sedikit sebanyak riwayat nabi-nabi, walaupun sebenarnya watak-watak itu tidak memahami dengan mendalam apa yang dihafal dan disenandungkan saban hari. Itulah watak-watak Islam yang sangat mempengaruhi masyarakat Melayu ketika itu dan masih tersisa hingga kini sehingga sanggu percaya bahawa tok guru tidak mempunyai sebarang jenis kesalahan walaupun secara hakikatnya manusia tidak boleh mengelak daripada melakukan kesilapan.
Inilah watak-watak yang sentiasa dicorakkan oleh PAS sehingga menganggap apa yang tok guru cakap benar belaka walaupun tok guru sendiri tidak mengamalkan nilai-nilai agama yang benar dan syumul. Gayanya boleh kita lihat apabila tok guru mengatakan “Tuhan juga mencarut” apakah bererti sifat Tuhan yang lebih tinggi itu hampir menyamai dengan sifat manusia? Apabila tok guru menyatakan bahawa “Tuhan lebih samseng”, jelas membuktikan bahasa sifat kasih sayang Tuhan turut berbaur dengan amarah-Nya sehingga bertindak ganas sedangkan secara jelas kita diajar bahawa Allah SWT itu Maha Pemurah dan Maha Penyayang.
Pandangan yang lain boleh kita persoalkan watak-watak yang telah membawa kepada perpecahan Melayu yang dibimbing oleh PAS ialah mengenai fatwa yang dikeluarkan oleh Haji Hadi Awang sendiri sejak tahun 1981 hingga kini masih belum ditarik balik.
Haji Hadi yang telah menaburkan dosa politik yang membawa kepada perpecahan masyarakat Melayu tidak sedikit merasakan dirinya berdosa malah sentiasa mahu melepaskan ego besarnya bahawa PAS sahajalah yang memperjuangkan Islam manakala selama memerintah Terengganu antara tahun 1999 hingga 2004 telah berjaya mengembalikan pemerintahan Islam. Benarkah dakwaan itu?

Ramai boleh selidik sejak awal-awal lagi memasuki Wisma Darul Iman, Haji Hadi sudah menaburkan “lebong” dengan memberitahu kepada umum “menemui banyak wang” tetapi sehingga akhirnya berapa jumlah dan di mana wang itu dijumpai tidak didedahkan kepada umum. Itu maknanya berbohong kepada rakyat dan bukan berbohong itu merupakan salah satu dosa besar dalam Islam? Bukankah Allah SWT amat melarang setiap orang berbohong kerana pembohongan boleh menyebabkan perpecahan dan konflik.

Benarkah dengan tertubuhnya PAS, orang Melayu dapat diselamatkan? Menurut Dr Dzulkefly Ahmad, perpecahan itu juga tidak harus dilihat sebagai satu masalah sebaliknya sebagai keuntungan kepada rakyat. “Itu bukan dosa tetapi wajar untuk selamatkan orang Melayu,”

Hingga kini tidak ada satu pun tindakan yang jelas, terang dan dapat dipertanggungjawabkan bahawa PAS telah menyelamatkan orang Melayu kerana PAS sebenarnya amat bencikan nilai-nilai Melayu walaupun sebahagian besar pendokongnya adalah orang Melayu. Itulah watak bacul yang ada dalam diri para pemimpin PAS yang hanya melihat bahawa mengutama dan mengupayakan Melayu sebagai satu langkah diskriminasi. Renungilah apa yang pernah Mursyidul AM PAS katakan, tidak menerima konsep bumiputera kerana ia serupa dengan dasar apartheid.

Mursyidul Am PAS pernah membuat kenyataan bahawa “jika bukan pakar mengenai Islam bercakap mengenai Islam, pada zaman Saidina Umar,orang itu akan dibunuh” tetapi sekarang parti itu memberikan kredit yang besar kepada bukan Islam mempersendakan kesucian ayat-ayat al-Qur’an yang dipetik secara luar konteks bagi menyedapkan pendengaran orang Melayu dalam kempen politik di Bukit Gantang. Kalau pada tahun 1998 beliau boleh berkata demikian, kenapakah ketika berhadapan dengan percubaan memurtadkan orang Islam (kes pemeriksaan JAIS ke atas tetamu malam Thanksgiving di Damansara Utama Methodist Church pada bulan Ogos 2011) sanggup menuduh tindakan itu sebagai “menyerbu”, bahkan memaksa agar EXCO yang bertanggungjawab supaya menutup mulut.
Dosa-dosa itulah yang tidak sanggup dihadapi oleh Datuk Dr Hassan Ali sehingga beliau sanggup diketepikan oleh parti yang diperjuangkannya. Kini beliau sedang giat mendedahkan dosa-dosa PAS yang boleh memusnahkan Islam atas nama politik gila kuasa dan menghalalkan apa sahaja yang ingin dilakukan oleh sekutunya.

PAS sanggup menggadaikan prinsip perjuangan sehingga lupa asal-usul dan keturunannya sedangkan sepatutnya Dr Zulkefly sedar secara jelasnya orang Melayu diikat kemas dengan Islam kerana dari segi undang-undang mereka yang bukan beragama Islam itu bukanlah orang Melayu. Kekuatan itulah telah dan sedang cuba dipecahkan oleh PAS dengan alasan Islam tidak mengenal bangsa dan asal-usul keturunan penganutnya.

Benar Islam itu bersifat global. Benar Islam itu untuk semua manusia tetapi kenapa PAS tidak berusaha dengan berkesan untuk menyatakan kepada semua bukan Islam bahawa Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu sekurang-kurangnya dalam konteks Malaysia. Kenapakah PAS terlalu murah harganya sehingga tidak dapat mengenal dengan lebih baik manakah dosa dan mana pula pahala apabila menganggap sesuatu yang baik itu di sebaliknya dengan cuba mempengaruhi masyarakat umum agar menentang penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) ke peringkat antarabangsa.
Usaha yang dilakukan meskipun telah dijelaskan tidak akan menyebabkan peneroka kehilangan tanahnya, kerana FGVH akan menjadi entiti perniagaan yang lebih besar dan bukan sekadar mengeluarkan buah kelapa sawit. FGVH boleh menggunakan kepakaran dan pengalamannya untuk meneroka pasaran antarabangsa dengan lebih luas dan tentunya bakal memberikan keuntungan dari segi dividen dan bonus berbanding kehilangan RM 43 juta wang pelabur tanpa disiasat secara mendalam oleh PAS daripada pelaburan luar negara membuka ladang burung unta oleh Koperasi Kohilal.
PAS sepatutnya mencontohi bagaimana masyarakat Cina membuat desakan untuk mendapatkan kembali wang pendeposit yang disimpan oleh ahlinya ketika Koperasi Pengambilan Deposit beroperasi secara tidak sah. Dengan siasatan mendalam dan pemerhatian di bawah undang-undang BAFIA (Bank and Finance Institution Act) wang itu kemudiannya dapat dikembalikan apabila Bank Negara campur tangan.
Kenapa PAS diam membisu dengan kes tersebut sebaliknya tidak mengakui bahawa koperasi itu merupakan sayap pelaburannya secara tidak langsung kerana sebahagian besar pendepositnya adalah ahli PAS. Kenapa PAS ingin menyembunyikan perkara tersebut daripada pengetahuan umum? Mungkin PAS lebih takutkan malu dengan menyembunyikan dosa-dosa yang telah dalam kalangan pihak pengurusannya, dan mungkin juga melibatkan seorang dua pemimpin kanan PAS sendiri?
PAS sebenarnya telah memecahbelahkan orang Melayu, tetapi kerana takutkan orang Melayu lebih sedar dengan dosa-dosa yang sudah dikreditkan dalam tabung parti akhirnya PAS tidak mahu mengakui bahawa faktor itulah yang membawa kepada perpecahan Melayu.
PAS sepatutnya lebih memahami bahawa dosa-dosa yang telah mereka longgokan selama ini akan terus memusnahkan kedudukannya sebagai sebuah parti Islam setelah berbaik-baik dengan DAP yang tidak pernah boleh menerima syariat Islam dan nilai-nilai Islam. Tetapi, PAS lupa bahawa dirinyalah yang paling banyak melakukan dosa kepada orang Melayu sehingga tertutup mindanya untuk memperkatakan bahawa apa sahaja yang dibuat oleh PAS itu betul dan benar sedangkan secara sedarnya belum pun lahir satu pun tindakan yang boleh dibanggakan sejak parti itu lahir di bumi bertuah ini lebih 61 tahun lalu.

PAS semakin bercakaran sesama sendiri dan sanggup membuang sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengan parti termasuk menyingkirkan ulamak untuk digantikan dengan kalangan pemimpin sekular yang menyamar mendaulatkan Islam. Lihatlah betapa sepinya pandangan dan ulasan kumpulan sekular dalam PAS ketika pemimpin ulamak tidak bersetuju dengan pandangan Ketua Pembangkang mengenai sokongan menjaga keselamatan Israel.
Kenapa Dr Zulkefly tidak mengulas dan membuat gesaan agar Anwar menarik balik kenyataan itu dan seterusnya memohon maaf secara terbuka kepada semua masyarakat Islam? Bukankah bermakna dengan berdiam diri itu menyebabkan pandangan bersetuju dengan Anwar atau turut bersubahat sedangkan kaedah penyelesaian “dua negara” tidak boleh diterima bukan sahaja oleh PAS bahkan masyarakat Palestin hatta kelompok Yahudi tulen (yang memperjuangkan negara Israel ialah kelompok Yahudi Zionis).
Dosa PAS kepada orang Melayu amat banyak dan hampir setiap hari berlaku. Dosa PAS kepada masyarakat Melayu-Islam memang banyak, kerana fatwa mengkafirkan sesama Islam itulah puncanya sehingga mengheret penceraian, perbalahan, konflik masyarakat dan pulau memulau dalam masyarakat, sembahyang dua iman dan ekstermisme agama (Memali).
Bukankah Islam itu menyeru kepada perpaduan, penyatuan dan persaudaraan tetapi kenapa sentimen membenci dan mencaci terus dilakukan oleh pemimpin PAS? Bukankah itu dosa? Kenapa sanggup PAS lakukan? Setiap kali seruan kepada perpaduan Melayu-Islam, setiap kali itulah PAS berdolak-dalik dan mempertahankan sikapnya yang tidak menyumbang kepada politik berhemah dan berakhlak.

Lupakah bahawa DAP pernah melukai orang Melayu apabila mencetuskan perarakan sehingga membawa kepada pergaduhan kaum manakala Ketua Pembangkang pernah menyifatkan “pemimpin PAS sebagai pelawak sarkas?” . Di manakah sikap sebenar PAS, kerana tidak lagi dapat memisahkah antara dosa dan pahala?

Sumber: http://www.terangbulan.net/archives/1218

No comments: