Kenyataan Media ini dipetik dari Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) bagi cluster industry Minyak dan Gas (Oil and Gas industry). Kita sedia maklum inisiatif mewujudkan Vendor di kalangan usahawan Bumiputera yang berkecimpung dalam industry ini kerana polisi Dasar Ekonomi Baru dan kesimabungannya Dasar Ekonomi Nasional. Namun yang merisaukan ialah wujudnya usaha sulit dalam PETRONAS untuk menggagalkan usaha ini dan Nampak jelas President dan CEO sekarang dicurigai kerana tindak tanduknya yang membiarkan keadaan jadi sedemikian. Baca Teks Ucapan untuk edaran akhbar dalam siding media di Bangsar 9 Januari 2014.
SIDANG MEDIA
MTEM MENGECAM TINDAKAN TERHADAP ROMBAKAN LEGASI PETRONAS DAN MENUNTUT AGAR TAN SRI SHAMSUL TAMPIL MENJAWAB PERSOALAN
MTEM MENGECAM TINDAKAN TERHADAP ROMBAKAN LEGASI PETRONAS DAN MENUNTUT AGAR TAN SRI SHAMSUL TAMPIL MENJAWAB PERSOALAN
Akhir-akhir ini semakin jelas kelihatan satu siri kempen yang disusun penuh teliti oleh Petronas bagi menenggelamkan isu-isu yang semakin banyak dibangkitkan. Mereka juga secara tiba-tiba begitu bermurah hati menganugerahkan kontrak-kontrak besar kepada syarikat Bumiputera terpilih. Walaupun langkah itu boleh dilihat sebagai pro-aktif, namun isu sebenar tidak pernah dijawab. Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mengutuk usaha ‘sulit’ oleh individu tertentu dalam Petronas untuk merombak dasar, personaliti dan keputusan pelaburan demi memenuhi matlamat peribadi dan keuntungan semata-mata. Spekulasi mula hangat apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Penasihat Petronas pada bulan lalu. Namun, YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak dengan pantas merayu agar Tun mempertimbangkan kembali keputusannya dan Tun Dr. Mahathir telah memberikan reaksi yang positif. Sebaliknya, Petronas mengambil tindakan berdiam diri dan kami dimaklumkan menerusi sumber yang boleh dipercayai bagaimana layanan buruk diberikan terhadap Tun Mahathir apabila pejabatnya di KLCC dikosongkan dalam tempoh 24 jam selepas peletakan jawatan tersebut. Adakah begini caranya Petronas membalas jasa negarawan yang telah meletakkan Petronas ke tahap Fortune 500 sedangkan sumbangannya selama 27 tahun memang tidak boleh disangkal sehingga hari ini? Adakah mereka terlalu gembira dengan ketiadaan Tun?
Tun Dr. Mahathir tidak akan meletak jawatan sewenang-wenangnya, bahkan beliau seorang negarawan yang masih cergas berkongsi pengalamannya sama ada melalui pertemuan-pertemuan mahupun penulisannya. Pejabat Tun masih sibuk menerima kunjungan tetamu, namun Petronas sebaliknya dengan sombong melayan Tun dengan buruk sekali.
Walaupun Petronas merupakan syarikat yang ditubuhkan untuk kepentingan umum, kita tidak pernah mendapat akses kepada maklumat dan data berkaitan prestasi Petronas yang sebenar kerana ia adalah dokumen sulit. Lebih mencurigakan apabila Petronas mengambil pendekatan menjawab aduan dan kritikan, atau bertindak secara lebih progresif, Petronas lebih suka menjawab menggunakan kempen media melalui data-data yang menyebelahinya. Syarikat tersebut berterusan membisu walaupun diajukan pelbagai persoalan oleh MTEM. Antaranya kes pemberian kontrak bernilai RM10 billion kepada kontraktor Bumiputera sedangkan nilai belanjawan Petronas bernilai lebih RM300 billion, atau kes VDP Petronas yang telah menyusut daripada 79 kepada 9 buah sahaja sehingga tahun lalu. Disamping itu, Petronas cuma melantik 3 VDP baru semenjak diterajui oleh Tan Sri Shamsul, kes Bread Story dan nasi lemak, laba yang berterusan untuk Technip dan Dialog, serta pelbagai masalah yang menghantui usaha Petronas di peringkat antarabangsa.
Budaya mengelak daripada menjawab soalan tidak berlaku kepada MTEM semata-mata, tetapi turut digunapakai apabila dipersoalkan oleh kerajaan mahupun pembangkang. Persoalan yang sama telah diajukan oleh perwakilan UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, tetapi tidak pernah mendapat maklum balas yang memuaskan daripada Petronas.
Pendek kata, walaupun Petronas cuba memaparkan kejayaan demi kejayaan, hakikatnya pemain industri dan pengguna sedang berada dalam situasi ekonomi yang amat sukar sekarang.
MTEM mendapati bagaimana Petronas secara tersembunyi menstruktur semula polisi-polisi penting semenjak teraju kepimpinannya diambilalih oleh Tan Sri Shamsul. Malangnya polisi yang telah diubah ini telah menyebabkan begitu ramai usahawan Petronas terkandas, sebaliknya peluang-peluang tersebut diraih oleh pelabur luar yang telah membentuk kerjasama dengan syarikat milik Petronas atas dasar perkongsian risiko. Segalanya terjadi melalui rombakan semula SWEC Codes (Standardised Works and Equipments Category) dan MTR (Minimum Technical Requirements). Selain daripada rombakan polisi, strategi pelaburan juga nampaknya sudah berpaling ke arah negara maju sekaligus melukakan perasaan sahabat-sahabat dari negara dunia ketiga yang telah dijalin sekian lama.
Petronas bukan sekadar syarikat minyak dan gas biasa. Ia bukan hak milik Tan Sri Shamsul dan ahli lembaga pengarah yang lain, tetapi merupakan aset berharga yang dimilik oleh seluruh rakyat Malaysia. Petronas menyumbang sebegitu banyak keuntungannya demi membangun negara dan itu merupakan suatu tanggungajawab yang tidak perlu dipersoalkan lagi.
Sekiranya legasi baru atau impian memecahkan rekod keuntungan yang menjadi pendorong utama Tan Sri Shamsul, kita tetap mempertikai keupayaannya. Tan Sri Shamsul sebenarnya tidak pernah mewarisi kepincangan sebagaimana yang sering didakwa, tetapi mewarisi sebuah syarikat bertaraf Fortune 500, mewarisi tanggungjawab untuk berbakti kepada rakyat Malaysia dan bukan kepada para pelabur semata-mata. Tan Sri Shamsul perlu bertanggungjawab kepada tokoh-tokoh terdahulu yang telah membina landasan terbaik dan selesa buatnya. Negarawan dan tokoh korporat yang hebat seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Azizan Zainul Abidin, Tan Sri Hassan Merican bahkan Tun Dr Mahathir sendiri telah berjaya membuktikan kecemerlangan dan kesetiaan mereka kepada negara dan kepada Petronas. Legasi kecemerlangan berlaku secara berkesinambungan oleh tokoh-tokoh peneraju Petronas dan tidak pernah diputuskan.
Tan Sri Shamsul mendakwa bahawa beliau tidak pernah mengidamkan jawatan tertinggi Petronas. Barangkali mengenangkan betapa sukarnya memikul tanggungajwab sebaik tokoh-tokoh Petronas sebelum ini. Namun, apabila diteliti prestasi dan halatuju syarikat tersebut hari ini, mungkin ada baiknya Tan Sri Shamsul menolak pelawaan tersebut dahulu.
MTEM akan terus komited dalam memperjuangkan keresahan para pendokong Petronas yang sedang dirundung malapetaka ini serta suara masyarakat yang prihatin. Namun setiap kesabaran ada batasnya dan kita melihat semakin ramai mereka yang tampil kehadapan untuk bersuara. Tan Sri Shamsul harus berani tampil untuk menjelaskan pelan tindakan serta polisi Petronas yang wajib mendahulukan kebajikan warganegara Malaysia melebihi segala yang lain. Jika tidak mampu, beliau sewajarnya berundur.
I think he better go because he is not running PETRONAS but someone else is dictating the direction of PETRONAS.
ReplyDeleteThe name of Omar Ong the Board Of Director of Petronas crop out again...PM Najib, please get rid of this chap too
ReplyDelete