Kongsi Ilmu

Thursday, January 19, 2012

Shahrizat saman 100 juta ke atas Zuraidah dan Rafizi!

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Khamis memfailkan saman fitnah menuntut ganti rugi RM100 juta terhadap Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin dan Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berhubung isu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).


Saman tersebut difailkan peguam terkemuka Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Jalan Duta di sini

Saman Shahrizat ada justifikasinya.

Ikuti ulasan penulis Sabahkini.net yang mengaudit Kerajaan Sabah dan bekerja dengan Jabatan Audit Negara di sini:


Isu ini sama sekali berbeza dengan SKIM TRUST di Sabah yang melibatkan kerugian tunai apabila lembu import daripada Australia dengan harga RM6,000 seekor hanya disedekahkan kepada Taukeh kaya atau kroni 'Menteri Sabah dan Persekutuan' tanpa perlu membayar balik walau dengan wang lama Jepun; seperti artikel bertajuk 'Sharizat Ikon Lembu, Rahim Ismail Ikon Kambu!' yang didedahkan di Sabahkini.net.


Mengikut perjanjian asal, penternak terpilih hanya dihadkan 100 ekor lembu dan mendapat pinjaman pembiayaan daripada Bank Pertanian; serta perlu membayar balik RM3,000 ekor, tetapi sebaliknya mereka hanya menerima lembu dan kambing berkenaan secara FOC!.






Persolannya, kenapa Jabatan Audit Negara dan SPRM tidak menyelongkar isu Skim TRUST sebagaimana mereka menelanjangkan keluarga Sharizat yang benar-benar membela, mengusaha dan melaburkan keuntungan mereka; sehingga berjaya menjana keuntungan dengan lembu dan pinjaman mudah yang diluluskan kepada mereka.



Agak 'GANJIL' bagaimana pembangkang boleh melempar 'Boomerang' kepada Shahrizat tanpa melantun kepada mereka semula dan paling malang Kabinet Malaysia hanya mentertawakan Shahrizat dipermainkan Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli dan suku sakatnya yang suka menyakat!






Mustahil Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan I dan Menteri Kewangan II, serta Ketua Audit Negara tidak mengetahui apa maksud pinjaman, pembayaran balik dan faedah keuntungan daripada industri untuk menjadikan Gemas di Negeri Sembilan sebagai 'Belanda Timur'.



Dalam soal ini, saya tidak suka Sharizat sebagaimana saya tidak menyukai Anwar Ibrahim kerana mereka ada masalah peribadi masing-masing; tetapi saya tidak boleh untuk tidak berlaku adil kerana dua ikon yang menjadi sebutan dan pujaan ramai setakat ini.






Anwar popular kerana kes liwatnya dan Shahrizat glamor kerana 'Lembu dan Kondo'; tetapi Sharizat lebih dizalimi rakyat kerana menjatuhi dosa suami dan anaknya (jika ada) ke atas dirinya yang 'cuai'; sedangkan segala keputusan untuk menubuhkan NFC diluluskan Kabinet Malaysia?



Kenapa tidak ada seorang Ahli Kabinet Malaysia yang meletakkan jawatan kerana jika Shahrizat salah, maka semua Ahli Kabinet yang membuat 'Collective Decision' akan turut bersalah dan wajib bertanggung jawab?






Dalam kes Sharizat, sekalipun suami beliau melalui NFC mendapat pinjaman mudah RM250 juta, tetapi kerajaan tidak rugi 'SATU SEN' pun dari segi akauntabiliti kerana aset NFC kini benilai lebih daripada RM250 juta; termasuk tanah, kondominium, saham, kontrak masa hadapan dan goodwill (sekalipun harga hartanah di Gemas hanya RM17,500 seekar dan tidak semua tanah milik NFC).





Walaupun Laporan Ketua Audit Negara 2010 dikeluarkan pada 24 Oktober 2011, namun tidak ramai tahu bahawa NFC memperolehi projek ini melalui tender terbuka yang dimenangi oleh Keluarga Shahrizat, secara kebetulan suami dan anaknya, Datuk Dr. Mohamad Salleh Ismail dan Wan Izran Mohamad Salleh, masing-masing menjadi Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif NFC.


Mengikut rekod, Syarikat Agro Science Industries Sdn Bhd, salah sebuah daripada dua syarikat yang dipilih untuk menjayakan Pusat Fidlot Nasional telah diberikan sejumlah pinjaman daripada RM250 juta yang diperuntukkan dan juga geran sebanyak RM6 juta melalui kementerian pertanian.



Kenyataan pertama oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar di lobi Dewan Rakyat pada 31 Oktober 2011 bahawa pinjaman berjumlah RM250 juta kepada NFC belum disalurkan sepenuhnya.


Kenyataan kedua dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 1 November 2011 dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat yang menyebut bahawa setakat 31 Julai 2011, hanya RM181.9 juta daripada geran dan pinjaman berjumlah RM250 juta telah disalurkan kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd.



Isu yang dibangkitkan Rafizi Ramli bahawa keseluruhan RM250 juta pinjaman sebenarnya telah disalurkan sepenuhnya ke dalam akaun NFC menjelang 31 Mac 2009 (RM130 juta pada 2008 dan RM120 juta pada 2009) ada asasnya; tetapi tidak ada sebab untuk mengharamkan pendapatan daripada faedah simpanan tetap sejumlah RM666,952.96 bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2009; bersamaan 23 % daripada perolehan hasil penjualan lembu.



Kendatipun Rafizi mendakwa bahawa hasil carian rasmi di SSM mendapati tahun kewangan berakhir 31 Disember 2009, hutang jangka panjang NFC berjumlah RM256,082,518 hanyalah untuk tujuan rekod dan tidak memberikan kesalahan dari segi akauntabiliti.


Apatah lagi, adalah menjadi tanggung jawab pihak yang memberi pinjaman RM250 juta untuk mendapatkan kembali pinjaman mereka menurut proses undang-undang dan bukannya melalui mencampuri urusan dalaman syarikat sehingga menakutkan pelabur asing; termasuk merampas aset tanpa melalui proses mahkamah.



Dalam hal ini, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian melalui agensinya Agrobank dan sebagainya; kelihatan lebih kejam daripada 'AH LONG' kerana membiarkan 'Pihak yang tidak ada kena mengena' (Rafizi & PKR) mencabul kehormatan 'ISTERI' orang (Sharizat); sedangkan tidak ada sebarang kesalahan dilakukan isteri orang tersebut.



Jika seorang menteri mendapat pinjaman perumahan kerajaan sejumlah RM500,000 tetapi tidak langsung membuat rumah kerana rumahnya di kampung bernilai lebih RM1 juta, sebaliknya menyimpan wang tersebut di dalam ASB atau Simpanan Tetap; apakah boleh dipenjarakan?



Bukankah setiap menteri yang layak mengambil pinjaman, termasuk pinjaman perumahan atau kereta dan membayar balik secara berkala selama tempoh perkhidmatannya; apakah kerajaan berhak mengganggu atau mencampuri urusannya?


Jika mengambil pinjaman bank sekalipun, Bank tidak pernah mempedulikan apa yang terjadi kepada rumah atau kereta tersebut selagi bayaran bulanan dibuat; malah Tajuddin Ramli pernah mencatatkan mengambil pinjaman ratusan juta tanpa cagaran.




Dalam keadaan Perdana Menteri terpinga-pinga dan Menteri Kabinet tidak langsung membantu, menyebabkan 'Wanita UMNO yang tidak berdosa menjadi 'Kambing Hitam' sehingga menjatuhkan martabat seluruh wanita di Malaysia; sama halnya dengan nasib Anwar Ibrahim yang dimalukan oleh 'Brutus' (lawan dan kawan) di dalam politik Malaysia.


Persoalannya, Sharizat menjadi mangsa 'bunuh' karier politik semata-mata kerana ada pihak yang mengidamkan Kerusi Ketua Wanita UMNO dan Menteri; bukan kerana jenayah atau salah laku!



(NOTA : Pandangan Penulis berdasarkan pengalamannya yang pernah menjalankan pengauditan Kerajaan Negeri Sabah selama 10 tahun dan tidak semestinya pandangan Sabahkini.net atau pandangan bekas majikannya, Jabatan Audit Negara Malaysia).

Sumber

Sabahkini.net
House PK

No comments:

Post a Comment

Disclaimer- segala komen pembaca tidak mewakili pendapat penulis blog ini. Komen anda adalah hak peribadi anda dan penulis blog tidak bertanggungjawab jika komen anda mempunyai kata kata hasutan dan diambil tindakan undang undang. Oleh itu komenlah dengan bijak dan waras