Kongsi Ilmu

Ciri Sultan Pemerintah Islam Sebenarnya - dalam konteks Melayu Islam

Ciri Sultan Pemerintah Islam Sebenarnya - dalam konteks Melayu Islam  dari artikel http://anakbukitgantang.blogspot.com/2010/11/ciri-sultan-pemerintah-islam-sebenarnya.html


Bismillah Hir Rahman Nir Rahim.



Pertama sekali izinkan patek sekali lagi berkongsi artikel dan mutiara pendapat dari Sultan, ilmuan dan Kerabat DiRaja Perak. Kredit Perkongsian Ilmu ini sewajarnya diberikan kepada 2 insan yang berusaha menjejak warisan ilmu Pengurusan Dalam Islam Budaya Melayu dari para Ilmuan Islam sepanjang tebing Sungai Perak dan patek memohon izin sekali lagi dari Y.A.M RAJA KOBAT SALEHUDDIN Ibni Al-Marhum Raja Muda Musa Ibni Almarhum Paduka Seri Sultan "Sir" Abdul Aziz Ibni Al-Marhum Raja Muda Musa Ibni Al-Marhum Paduka Seri Sultan Ngah Ja'afar Ibni Al-Marhum 'Sultan Muda' Raja Kecil Tengah Ahmad

dan Y.Bhg Dato Mokhtar Petah bagi menurunkannya untuk bacaan umum di sini.



Tujuan patek mewariskan ilmu pengurusan Islam dari perspektif budaya Melayu Islam supaya generasi muda tahu ketinggian budaya silam warisan yang mulia berbanding budaya ikut nafsu yang saban hari dimomokkan dengan tingkah laku biadap dari pembuat dasar undang-undang berugama Islam di DUN Negeri-negeri mahupun Dewan Rakyat.

Mutiara Nasehat dari seorang Sultan ( Almarhum Sultan Idris II/ehsan Dato' Mokhtar Petah)

1-Negara ini akan menjadi aman dan mendapat keredhaan Allah jika ia dipimpin oleh orang yang mempunyai banyak pengetahuan Islam dan mempunyai pegangan kepada kitab suci al Quran dan as Sunnah.

2- Orang Melayu dan Umat Islam tidak akan bersatu padu selagi mereka tidak bersama dalam organisasi yang berdasarkan Islam, kerana fahaman-fahaman Yahudi dan Kristian dalam apa bidang sekali pun tidak boleh dicampur- adukkan dalam amalan umat Islam.


3- Kerajaan hendaklah memberi bantuan kepada semua sekolah- sekolah agama rakyat diseluruh negara, kerana sekolah-sekolah itulah yang dapat menjamin segala macam fahaman dan amalan yang berlawanan dengan agama Islam dapat dicegah dan dibanteras.


4- Raja-Raja Melayu dan pemimpin negara hendaklah mempunyai pendapat yang sama untuk menegakkan Negara Islam yang berdasarkan al Quran dan as Sunnah.

5- Perpaduan semua kaum di negara ini jangan sampai menjejas atau merosakakan agama Islam dan akidah umat Islam, kerana umat Islam di negara ini ada ikatan dengan agama Islam dan Adat Istiadat Melayu.

Kepadukaan sesebuah negeri yang berSultan (ehsan Y.A.M RAJA KOBAT SALEHUDDIN Ibni Al-Marhum Raja Muda Musa Ibni Almarhum Paduka Seri Sultan "Sir" Abdul Aziz Ibni Al-Marhum Raja Muda Musa Ibni Al-Marhum Paduka Seri Sultan Ngah Ja'afar Ibni Al-Marhum 'Sultan Muda' Raja Keciil Tengah Ahmad).


"Kepadukaan” seri negeri itu adalah berupa zahir Pepucuk Pemerintahan Diraja. Sebutan “Paduka” itu mengandungi ertikata ‘Ayah Kebesaran Negeri’ ~ dan tersirat di sebalik pengertian itu ialah maksud yang kalam,~ AYAH PERKAUMAN. Dalam intrepetasi orang-orang Melayu yang mengerti adat dan berbahasa, seseorang Paduka itu secara zahirnya adalah ‘Tuan Penghulu’; sebab hadirnya peranan dua watak; yakni,~ Penghulu Institusi dan ayah persukuan bangsa-bangsa Melayu yang bernaung di dalam negeri kedaulatan baginda. Erti yang tersirat itu menyimpul sebutan ‘Penghulu’ menunjukkan pertalian jiwa yang amat rapat di antara Rakyat dan Rajanya. Orang-orang tertua Melayu yang diketahui dari warisan tebing Sungai Perak yang bernenek moyang di sana, setidak-tidaknya semenjak zaman “Marhum Kahar” (Sultan Iskandar Zulkarnain pada abad ke-18 M) masih memegang perinsip " apakala seseorang Sultan itu sanggup merendahkan diri, bercampur-gaul amat mesra dengan para penduduk kampung, baginda secara lantas akan diakui oleh kaum Melayu di sana sebagai "TUAN PENGHULU" mereka" !!!.


Ini bukanlah bererti mereka merendah-rendahkan martabat Sultan mereka itu. Sebaliknya, mematuhi istilah sebagai ketua yang terpilih selaku 'Pertuanan di hulu’@`Pemangkuan di hulu’ (mercu Bukit Saguntang) itulah si dia yang diterima oleh mereka sebagai `Paduka’. Berikut ini adalah sepertimana “kronologi” pertuanan negeri yang dimaksudkan oleh rakyat Melayu zaman silam di lembah Sungai Perak :



1- Kepada Sang Raja yang akrab dengan segenap lapisan rakyat Melayu seluruh desa, itulah dia “YANG DIPERTUANKAN”; yakni, dijadikan simbolisis “Hulu Kepala” masyarakat sekelompok;


2- Raja Yang Dipertuan itulah dia yang berkesanjungan martabat, “DI BATU JEMBALA” mereka; yakni baginda selaku Tuan Penghulu itulah yang diletak berkedudukan laksana di atas sebuah batu perjembalaan istiadat, yakni, ‘peterakna’ [ dari sebutan asal"Patu"= dalam bahasa Melayu kuno ertinya“batu”; dan Rakna, iaitu, “ permata” dari pengertian Sanskrit.]. Implikasinya = “Kedudukan Gemilang” di mercu Bukit Saguntang.

3- Peterakna itu berada di puncak kegunungan negeri (‘takhta’); dan Tuan Penghulu itu kian dipinta bersinggah di sana (‘singgahsana’) demi bermajlis memayungi mereka. Maka panggilan timang-timangan bagi Sang Rajanya itu ialah “Payung”;

4- Pepayungan yang berkembang itu (‘Raja Pemerintah’ @ Raja Yang DiPertuan) sudah pun bak dipegangi tunjak-tangkainya (seandai batang payung) oleh mereka BERTETAMPAN (beradat) ... Tetampan itu bertekat dengan cogan kata: ~

“ BAKA BERTUAH PENGHULU KAMI, DULI MERENDAH DISANJUNG TINGGI ”.

Yakni, Raja yang berjiwa kemuliaan sahaja yang sanggup merendahkan dirinya, dan dialah yang akan diakui (diterima) oleh sekalian rakyat Melayu sedesa merangkap dan selaku Wakil yang terulung bagi mereka. Di bawah pepayungan {pemewakilan} itulah mereka bernaung ; ~ Raja Melayu itulah Penaung mereka; ~ tempat mereka mengadu nasib; kerana dialah sesungguhnya “PADUKA” (yang berhakikat Sang Ayah Perkauman;)

5- Kepadukaan (keayahandaan) itulah yang mengandungi SERI; (@ cahaya kesaktian / kekeramatan / kedaulatan) bermaksud (gelaran martabat) “Paduka Seri”, yakni “Keayahandaan Penyinar Seri”.

6- Keserian Penghulu mereka itulah yang memancarkan kedaulatan teras mereka bersama; dan Paduka itulah yang BERTANJAK, tidak dia bertengkolok; kerana tanjak memikul Sang SEMANGAT; yakni, tapak sandaran semangat suku bangsanya;

7- Dan Semangat itulah yang terisyarat sebuah mohor bercogan yang terselit di tanjak Paduka. (Maksudnya ialah mohor kecil yang terselit ke tanjak Raja Yang Dipertuan di atasan telinga kanan baginda). Cogan semangat (Cap Halilintar atau ‘Kayu Gamat’ atau ‘Kayu Gempa’ ) yang terzahir di HULU BERTANJAK itulah PASAK KEMAHKOTAAN NEGERI;

Dan kemahkotaan Negeri itulah lambang ( imej@ pewajah ) KEMAHKOTAAN JATIDRI BANGSA MELAYU;

8- Bangsa berkemahkotaan pasak negeri adalah yang mewarisi SAKTI ( tenaga kebatinan ); yakni, kekuatan ( keteguhan ) tatasusila dan akhlak jatidiri kebangsaan Melayu; yang tersandar kepada kezahiran penaung diraja yang sedang memikul memangku lambang sakti bangsanya;

9- Kesaktian ( tatasusila ) itulah yang mempunyai ( mengandungi ) MARUAH;


dan di dalam maruah itulah tersimpannya SEMANGAT ( keMelayuan ).


Itulah yang dipinta untuk dipertaruhkan kepada Tuan Penghulu diraja yang diamanatkan mematuhi sumpah turun termurun. Dan dialah sang Paduka Yang Di Pertuan (Ayah Perkauman) yang menjunjungi Sang Semangat, bersemayam di Batu Jembala negeri kepunyaan mereka adanya.


NOTA-KAKI : * Penulis bersama Allahyarham Cikgu Ahmad Manjang tlh menyelidiki hal ini menemuduga mengutip bahan drp beberapa budayawan di sekitar hilir Sg. Perak dari Padang Changkat sehingga ke Bandar Lama di Hilir Perak.** Sekitar thn 1976.


Komen ABG

Kepada mereka yang memahami amanat yang tersurat dan tersirat ini fikir fikirkan balik, apakah kita sudah ada "pemimpin berjiwa rakyat"? Pemimpin berjiwa rakyat it maknanya jauh lebih mendalam dari apa yang kita ketahui. Dan pada waktu ini di mana politikus menggadai kesucian ugama Islam demi undi politik, apakah mereka sesuai menjadi pemerintah, mengurus amanah yang diberikan Allah mengikut perpektif Islam?

Tatkala umat Melayu Islam diserang bertubi tubi dalam DUN Negeri dan Parliament, dengan kes terbaharu budak yang ayahnya Murtad membawa daging Khinzir di Parliament (Isu utama ialah -Murtad) kita perlu balik kepada sistem pemerintahan asal di bawah Khalifah Islam, iaitu mempunyai Pemerintah/Sultan yang arif mengenai ugama Islam.



Rujukan



1-Y.A.M Raja Kobat Salehuddin Ibni Al-Marhum Raja Muda Musa Ibni Almarhum Paduka Seri Sultan "Sir" Abdul Aziz Ibni Al-Marhum Raja Muda Musa Ibni Al-Marhum Paduka Seri Sultan Ngah Ja'afar Ibni Al-Marhum 'Sultan Muda' Raja Kecil Tengah Ahmad Ibni Almarhum Paduka Seri Sultan "Sir" Abdul Aziz Ibni Al-Marhum Raja Muda Musa Ibni Al-Marhum Paduka Seri Sultan Ngah Ja'afar Ibni Al-Marhum 'Sultan Muda' Raja Kecil Tengah Ahmad

2-Y. Bhg Dato' Mokhtar Petah
3-Nota persendirian.

-------------------------------------------------------

http://www.anakbukitgantang.blogspot.com/